Saturday, June 11, 2011

kenangan hari lahir 08

Saya pulang dari kelas seperti biasa, meletakkan buku-buku di tangan ke atas meja, menempatkan beg galas ke atas kerusi, dan membuka laci. Ada sebuah bungkusan di dalamnya. Subhanallah, ada-ada sahaja mereka ini. Semalam sudah berkumandang ucapan-ucapan hari lahir daripada teman-teman. Tinggal di dorm yang didiami dengan hampir 30 orang, pastilah bila ada yang memecahkan sunyi malam, akan ada yang menyambut dan menggemakan suasana. Ucapan hari lahir sudah saya terima bertalu-talu dari semalam, dan sekarang, ada sesuatu pula yang menanti saya.

Lantas saya bertanya pada teman di sebelah saya, tahukah dia jika ada sesiapa yang datang menghampiri meja dan membuka laci saya. Teman saya menggeleng, tanda tidak tahu. Saya tanya pula kepada teman-teman yang berdekatan dengan saya. Semuanya tidak tahu. Berita saya mendapat hadiah hari lahir daripada seorang yang misteri mula tersebar ke telinga semua teman di dalam dorm. Mereka turut sama tertanya-tanya akan siapa yang memberi saya diari hijau cantik yang bila dibuka akan beralun muzik hari lahir yang indah, dan juga sebentuk hati merah besar. Spekulasi mula dicipta, mungkin saya punya peminat rahsia yang ingin benar saya mengetahui isi hatinya tanpa saya mengenali siapa dirinya. Mereka menambah lagi, mungkin sahaja orang itu mengirim bungkusan itu kepada teman perempuan saya dan memintanya meletakkan ia di dalam laci saya. Teman saya itu pula pasti diminta diam bila ditanya. Saya menafikan segala yang dikata.

Rasa ingin tahu saya semakin membara. Siapakah gerangan pemberi diari yang masih saya guna hingga kini? Terus saya menyenaraikan nama-nama yang saya rasa bersesuaian dalam minda saya. Saya tanya mereka satu-persatu, tetapi hampa. Mereka semua menidakkan. Saya sampai menjengah dorm di hadapan untuk bertemu dengan adik junior yang rapat dengan saya. Dia pernah memberikan saya keychain berbentuk epal yang berwarna hijau sebelum ini. Mungkin dia orang yang sama yang memberikan diari itu kepada saya –warna kesukaanya adalah hijau. Namun seperti yang lain, dia juga menggeleng. Persoalan terus menjadi tanda tanya.

Sehinggalah tiba pada satu hari –saya lupa bagaimana dan bila masa masanya; mungkin sebelum saya mengambil SPM, atau mungkin juga selepasnya, juga saya lupa apa tujuannya –saya dan teman saya berjalan-jalan di sebuah pasaraya. Mundar-mandir ke sana-sini dan melihat apa sahaja yang berada di hadapan mata. Teman saya meminta saya mengekorinya ke satu sudut. Saya menurut. Kami tiba di bahagian alatan tulis, dan sebetulnya di hadapan rak yang penuh dengan diari. Dia mengambil satu diari dan memberinya kepada saya.

     “Ingat lagi diari ini?”

Dan saya terus mengejarnya dalam gelak-ketawa dan bahagia yang masih bersisa tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang.




Syafiqah Hairudin, masih awak ingat semua itu?

Thursday, June 9, 2011

ujian

Kata Luqman, manusia berhak menguji manusia. Ujian itu boleh membenarkan atau menidakkan sesuatu yang mungkin membelenggu mereka. Mungkin ujian itu akan membuahkan kekecewaan, menyebabkan manusia bersugul dan berduka. Ujian itu juga mungkin memberikan sinar buat manusia, membuatkan mereka tersenyum dalam bahagia. Ujian mungkin boleh mendedahkan hakikat yang tersembunyi, tidak kira apa hasilnya.

Namun, Zul tidak pula sebulu dengan dia. Zul menegaskan, manusia memang berhak diuji, kerana hidup ini sendiri adalah ujian daripada Tuhan. Tapi Zul tidak bersetuju jika manusia yang memberi ujian, seolah-olah mereka yang diuji adalah bahan eksperimen. Ada hipotesis, pembolehubah dan kesimpulannya. Kata Zul lagi, kesimpulan yang dibuat manusia bukan betul semuanya. Ada yang dipengaruhi oleh emosi dan isu semasa.

Jadi, tepuk dada tanya selera.

Monday, June 6, 2011

memendam rasa

Bagi mereka Pak Salleh seorang yang kaya. Mana tidaknya, hasil tangannya terkenal dan dijual di merata-rata tempat. Bisnesnya jika dilihat dengan mata kasar, akan dilihat orang sebagai bisnes yang lancar tanpa sebarang masalah. Benar, semua pekerjaan juga memerlukan kesungguhan, kerajinan dan ketekunan. Mereka percaya sifat-sifat yang ada pada Pak Salleh itulah yang membuatkan nama dan hasil tangannya dikenali ramai. Melihat pada Pak Salleh yang kuat bekerja, mereka beranggapan bahawa Pak Salleh sudah mengaut banyak keuntungan atas usahanya selama ini.

Dengan senyuman dan gurau senda yang tidak pernah renggang daripada Pak Salleh, mereka benar-benar percaya yang Pak Salleh sudah memperoleh segala-galanya. Bagi mereka Pak Salleh beruntung dan bahagia. Pak Salleh tidak pernah memperlihatkan keletihan dan kepenatannya kepada ramai. Hanya senyum manis yang dihadiahkan kepada mata yang memandang, bukan duka yang ada di sebelah dalam.

Meski kerjanya dianggap memberi banyak pulangan, hakikat sebenar hanya Pak Salleh yang tahu. Di luar dia bahagia, di dalam dia derita. Pak Salleh seorang diri, memendam rasa dan tidak mempamerkan keluh kesahnya pada yang bertanya. Dia tidak pernah mengungkapkan apa yang tersimpan di kalbu. Apabila Mak Tipah bertanya, Pak Salleh tetap tidak memberitahu apa-apa. Pak Salleh tidak mahu isterinya resah dengan perkara itu, biarlah dia sahaja yang mengetahuinya.

Lama-kelamaan, bukan hanya Mak Tipah yang cuba mendekati Pak Salleh, anak-anaknya juga cuba untuk mencungkil perkara yang sering bermain di mindanya. Amna, anak Pak Salleh yang bongsu juga berusaha untuk membuka mulut ayahnya. Seperti yang lain, dia juga tidak mahu melihat Pak Salleh hanya berdiam diri dan meneruskan hari-hari yang mendatang seolah-olah tiada kerisauan yang melandanya.

Namun, walau didesak, Pak Salleh tetap begitu. Pak Salleh masih tersenyum dalam derita, seorang diri memendam rasa.

Wednesday, June 1, 2011

rahsia

Sesuatu bukan lagi rahsia jika ia dikhabar dan diceritakan kepada ramai. Bila namanya rahsia, yang menjadi rahsia itu harus disimpan baik-baik, harus dipegang baik-baik. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
Itu yang dikatakan oleh Aidil kepada Akif. Tetapi Akif sudah terlanjur membuka mulut. Kini, ia bukan lagi menjadi rahsia Aidil mahu pun Akif. Ia sudah menjadi buah mulut orang. Di mana-mana sahaja, mereka memperkatakan tentang hal itu.


Di mana Aidil mahu sorokkan wajah selepas semua itu berlaku? Toleh kanan, mereka menyebut namanya sambil tersenyum sinis. Toleh kiri, ada pandangan yang membawa seribu makna dihadiahkan kepadanya. Tunduk ke tanah, menyalahkan diri kerana membuka aib sendiri.

Disangkanya Akif mampu membawa amanah itu bersamanya. Akif temannya, pada siapa lagi boleh dia melepaskan resah di hati jika bukan pada sahabatnya. Dia terlupa, mungkin Akif tidak kuat bila diganggu dan diasak. Pengakhirannya, dia, Akif dan semua sudah tahu.

Lama dia berfikir. Merenung dan mencari kesimpulan
.
Ah, biarlah mereka tahu rahsia diriku. Biar dunia memandang sinis padaku dan mengata diriku. Baru satu rahsia diriku yang mereka tahu. Bagaimana agaknya reaksi mereka jika mereka tahu semuanya tentang aku?

Tunduk lagi.