Sunday, January 23, 2011

Tengok haiwan di Zoo

Mungkin orang lain sudah lama sampai ke sini, atau mungkin sudah beberapa kali kalian singgah ke sini. Namun, Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga menjejakkan kaki ke Zoo Negara semalam. Seharian kami mundar-mandir di sana, yalah, baru berbaloi RM25 yang kami bayar tu. Semua tempat kami singgah kecuali Ape Centre sebab kaki dah terlalu lenguh dan kewajipan Zohor yang belum ditunaikan.


Here are some pictures:











Seronok dapat tengok persembahan daripada singa laut. Namun terdetik rasa kasihan pada haiwan tersebut apabila ia tidak diberi upah makan apabila tidak dapat mencapai aras tinggi yang ditetapkan oleh jurulatih ketika melompat. Sepanjang jalan-jalan kat sana, fikiran asyik teringat je kat Alex, Marty, Melman dan Gloria dalam kartun Madagascar tu. Oh, saya memang jumpa diorang semua kat sini, tapi terlupa nak ambil gambar. ;)


Jalan ke Zoo Negara;
LRT Stesen U - Wangsa Maju  (RM2.40)
Naik bas no. 34 atau teksi (RM5- RM7)





* Insya-Allah, minggu depan nak ke RTK. Rindu adik-adik kat sana.   ;(

Friday, January 21, 2011

Petise#2

Ketika aku mohon kekuatan, Allah berikanku kesulitan hingga aku kuat.
Ketika aku mohon kebijaksanaan, Allah berikanku masalah untukku pecahkan.
Ketika aku mohon kesejahteraan, Allah berikanku akal untukku berfikir.
Ketika aku mohon keberanian, Allah berikanku bahaya untukku atasi.
Ketika aku perlukan cinta, Allah berikan orang bermasalah untukku tolong.
Ketika aku mohon bantuan, Allah berikanku kesempatan.
Ketika aku tidak pernah menerima apa yang aku pinta, tapi aku menerima apa yang aku perlu.

-Imam Ghazali-




Pandang pada yang positif, nyahcaskan segala yang negatif.






* Last Fardu Ain class; next week Kak Salmah, Chief Fasi tak dapat datang sebab ada program di UIAM Gombak.
* Selamat Hari Lahir buat sahabat saya, Solehah Zulkifli! Sayang Lehah.. :)
* Upin kan 'abang', tapi kenapa Upin lagi manja daripada Ipin ya?
* Jom tingkatkan amal!


Tuesday, January 11, 2011

Petise


"Kata orang, semua lelaki, semua tanpa kecuali, akan jatuh cinta kali kedua pada umur 40 tahun ke atas. Lazimnya, mereka jatuh cinta ini adalah terhadap wanita yang lebih muda daripada isterinya. Kekadang dia jatuh cinta semula dengan bekas kekasihnya yang telah berpisah lama. Maka berkahwinlah dia buat kali keduanya, menyebabkan dia mempunyai isteri-isteri yang bermadu, kekadang pula menyebabkan perceraian dengan isteri tuanya. Kononnya, ada juga lelaki yang jatuh cinta buat kali kedua itu dengan isterinya yang sedang hidup bersama-sama dengannya. Keadaan ini ialah mitos yang diimpikan oleh semua wanita yang bernama isteri pertama." 
-Hostel: Memento Cinta-



Poligami? Tidak semua orang mempunyai pendapat yang sama. Saya juga punya pandangan saya sendiri dalam isu ini. Mungkin bila tiba masanya saya akan bercerita tentang pendapat saya, dan mungkin juga saya akan terus diamkannya.



***

Tersenyum bila terlihat satu tulisan tangan pada kertas A4 yang tertampal di dinding bilik abang kandung saya,

'Monogami, pilihanku!'


Friday, January 7, 2011

Storia | Sekadar sahabat

Saya duduk. Bangku ini tidak lagi kosong, namun ruang di sebelah saya masih belum terisi. Namun, pilihan dia tepat. Memilih untuk berdiri adalah keputusan terbaik yang diambilnya.

"Betul awak ingin tahu?"

"Ya, dan saya sangat pasti."


Keluhan kecil terlepas jua. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk saya berbuat begini, namun mungkin, prinsip yang dipegang sesekali harus dicabar.


Sejenak kata-kata yang pernah dia tujukan pada saya bergema di dalam kepala,

"Kadang-kadang cinta yang lahir dari pintu simpati itulah yang lebih kekal".

Dan ketika itu, saya hanya mampu diam.


Angin lembut berdesir di telinga. Dia masih berdiri di situ, dan saya masih merasakan saya lebih tenang dengan memilih untuk duduk di bangku ini, bangku yang menyimpan memori kami.


"Hahaha, nama je lelaki, tapi kaki bangku."

Waktu itu, saya hanya mampu menangis teresak-esak di bangku ini. Mereka benar, saya tidak mahir dalam menggelecek bola. Ingin saya bawa bola itu ke kanan, ke kiri pula perginya. Ingin dihalakan bola itu ke kiri, ke kanan pula geraknya. Saya kaki bangku, tapi itu dulu, saat saya masih budak hingusan. Kini janggut mulai tumbuh di dagu, dan mungkin mereka sudah tidak ingat saya, kerana rupa saya yang sudah berubah.

Saat saya masih kecil, dia yang berdiri dengan jarak satu meter daripada saya inilah yang selalu memenangkan diri yang selalu kalah ini. Menyedari saya yang tidak mempunyai ibu bapa seperti kanak-kanak yang lain, memang terserlah sikap pilih kasihnya terhadap saya berbanding kawan-kawan yang lain. Dia yang selalu berperang mulut dengan mereka yang selalu suka mencari kelemahan saya, dia yang selalu menghulurkan makanan dan minuman saat saya terpaksa mengikat perut sedang kawan-kawan yang lain berlari-lari ke kantin sekolah pada waktu rehat, dia yang merawat luka saya di bangku ini bila kaki saya luka akibat terjatuh- kini menanti jawapan daripada saya.

Dalam sedar atau tidak, zaman kanak-kanak itu telah lama saya dan dia tinggalkan. Dulu tidak salah untuk saya dan dia bersentuhan tangan, bergurau-senda sambil mengulangkaji pelajaran, berdua-dua dalam kepekatan malam apabila pulang dari kelas menggaji Qur'an, namun sekarang, saya dan dia sendiri sudah tahu batas-batas yang perlu kami jaga.


Dia masih sabar menanti. Saya akui, sudah terlalu banyak pertolongan yang dia telah berikan pada saya. Namun saya merasakan ini bukanlah satu-satunya cara untuk saya membalas segala jasanya. Perit untuk saya meluahkannya, namun saya juga tidak sanggup membiarkan dia ternanti-nanti.

Akhirnya, saya membuka mulut,

"Saya benar-benar minta maaf. Saya tak nafikan, kadang-kadang cinta yang lahir daripada pintu simpati itulah yang lebih kekal. Tapi saya tak mampu bertahan dengan 'simpati' itu. Simpati itu mungkin akan hilang seiring dengan masa yang berlalu, dan saat itu, saya bimbang cinta yang lahir daripada pintu simpati itu akan turut pergi."

Nafas ditarik dan dihembus.

"Saya hargai kehadiran awak dalam hidup saya, namun tidak pernah saya terfikir bahawa kita akan melangkaui persahabatan yang kita bina. Mungkin satu hari nanti, perasaan cinta itu akan berbenih dan bercambah sendiri, tapi ia masih tidak menjanjikan apa-apa. Saya masih belum bersedia untuk bercinta selain dengan-Nya, dan Dia masih menutup hati saya untuk merasai cinta yang awak maksudkan. Saya benar-benar minta maaf jika saya menyinggung perasaan awak. Jawapan saya, kita sekadar sahabat."


Saat saya melangkah pergi, saya melihat air mata perempuannya menitis ke pipi. Hati sedikit terusik, namun saya tekad, saya tidak akan berpaling!


-Tamat-



***

Jika Faisal Tehrani boleh menyelami hati wanita dan mengolahnya dengan baik dalam Tunggu Teduh Dulu, saya juga ingin cuba meletakkan diri saya di tempat lelaki dan mewakili suara hati mereka.  :)

Wednesday, January 5, 2011

Ingat Dia

Bila mata bertemu mata,
timbul rasa cinta.
Bila hati bertemu hati,
kasih pantas bersemi.
Bila dahi bertemu sejadah,
terasa agungnya kasih Illahi.


Kering dan gersangnya hati bila lari daripada cinta Yang Hakiki.
Hati mekar dan tenteram bila Cinta-Nya sering menemani.



"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu."  (2:152)

Wednesday, December 29, 2010

Disember

1. Turning point.
Saya masih tidak mempunyai konklusi sebenar akan apa yang terjadi, namun saya kira, insya-Allah ia adalah satu perubahan ke arah yang lebih baik. Kadangkala letih dan penat yang menduga dapat saya tepis dengan tenang ditemani senyuman. Kadangkala saya dijentik hiba dan hanya bangkit jika ada tangan yang menghulur. Bukan auta, saya lemah bila bersendirian. Teruslah menyokong saya dari hadapan dan belakang, sehingga saya boleh benar-benar berdiri dengan penuh keyakinan.

2. Terharu.
Sudah lama saya mengesaninya, namun akhir-akhir ini ia makin kuat terasa. Ia kukuh terpahat dalam jiwa saya. Mungkin ada faktor yang menyumbang, dan faktor itu benar-benar mengaktifkannya. Saya kini punya dua keluarga- dua-duanya saya sayang dan tidak mahu saya tinggalkan. Namun kenyataan memanglah berbeza daripada apa yang dikhayalkan. Mana bisa badan boleh dicerai menjadi dua- tinggalkan satu di sini, yang satu lagi melangkah ke sana. Saya hanya boleh memilih satu, dan keputusan itulah yang pahit untuk saya lakukan.

3. Bahagia.
Jasa dan pengorbanan mereka memang tidak boleh saya balas sampai bila-bila. Walau apa yang saya lakukan, sebanyak mana keringat yang dikerah, ia tetap tidak mencukupi. Namun hati saya terasa berbunga dengan kata-kata indah dari hati mereka. Senyum mereka cukup membuatkan saya terbang melayan bahagia.

4. Ulangtahun.
Mereka asyik mengingatkan saya, Disember ini bulan istimewa mereka. Jauh dalam hati saya, saya turut merasakan yang sama. Pengakhiran tahun Masihi kali ini terasa lain benar daripada yang sebelum-sebelumnya. Saya ingin bersama mereka menyemarakkan lagi rasa yang lama disemai dalam jiwa. Saya mahu berada di samping mereka menganyam memori yang akan kami cipta. Saya ingin sekali untuk kali ini, dan saya telah tekadkan hati saya untuk memastikannya. Semoga Tuhan memudahkan segalanya.



*Buat keluarga PERKIM saya, saya teringin benar bersama kalian. Apa boleh buat, Tuhan sudah menetapkan takdir saya untuk tinggal di sini, jauh daripada kalian. Mungkin ada hikmah yang menunggu, dan saya terima apa yang saya harus depani. Sampaikan salam saya pada tanah yang bertuah menerima kunjungan kalian. Sesungguhnya kalian adalah yang terpilih untuk berbakti, dan saya di sini, masih menanti pasti.

Friday, December 24, 2010

Cinta songsang

Assalamualaikum  :)

Masuk kelas Chem dengan wajah yang kurang bermaya. Bukan saya sahaja, rakan-rakan saya pun nampaknya masih kurang bersedia untuk menghadapi Physical Chemistry yang 100% berbeza dengan Organic Chemistry yang kami pulun habis-habisan untuk exam baru-baru ni.

Madam Fadzilah masuk, dan terus duduk.

"Minta maaf saya masuk lambat. Sebenarnya saya masih shock dengan video yang baru saya tengok pagi tadi, tentang seorang lelaki yang mengaku gay."

Ya, isu itu memang famous sekarang. Astaghfirullah, apa nak jadi dengan dunia akhir zaman.

Madam terus menyambung bicaranya satu demi satu. Banyak juga pengetahuan baru yang saya dapat. Kata Madam, memang golongan ini mempunyai persatuan sendiri dan aktivis-aktivis dalam golongan ini sedang cuba untuk menjadikan golongan mereka diterima oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Mereka ingin mempertahankan human right mereka seperti mana yang berlaku di Jerman dan Singapura- golongan gay sudah mendapat tempat di mata masyarakat.

Madam berpeluang menghadiri seminar yang dikendalikan oleh seorang counselor terkenal yang saya lupa namanya.  Counselor atau Prof itu sudah biasa mengendalikan sesi kaunseling untuk kes-kes begini. Menurut beliau, isu ini memang sangat parah di Malaysia. Dalam 15 kes yang dihadapi beliau, hanya ada 2 kes di mana beliau berjaya membawa golongan ini kembali ke pangkal jalan.

Bila ditanya apakah punca yang menyebabkan masalah ini berlaku, kata beliau, selain daripada kurang didikan agama dan faktor-faktor yang lain kita biasa tahu, salah satunya ialah boarding school. Di sini, remaja-remaja jauh daripada ibu bapa. Mereka kurang mendapat pantauan dan seterusnya membuatkan mereka bebas berbuat sesuka hati.

Kata beliau, nafsu yang ada pada remaja lelaki dengan mudah boleh disongsangkan oleh syaitan laknat- daripada menyukai remaja perempuan, mereka lebih gemar memuji dan meminati rakan yang sama jantina. Akhirnya, mereka terjerumus dalam cinta sesama sendiri dan semakin jauh daripada Allah.

Kami hanya diam mendengar, terasa minda sedikit dibuka. Kadangkala asyik mengadap buku, sampai isu semasa dan agama tidak diambil peduli.

Madam terus berkongsi cerita, dan kami terus menadah telinga. Dan sampai akhir, kami langsung tidak bercakap tentang Chem!



***


"Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama." -Tuhan Manusia tulisan Faisal Tehrani.