Saturday, June 11, 2011

kenangan hari lahir 08

Saya pulang dari kelas seperti biasa, meletakkan buku-buku di tangan ke atas meja, menempatkan beg galas ke atas kerusi, dan membuka laci. Ada sebuah bungkusan di dalamnya. Subhanallah, ada-ada sahaja mereka ini. Semalam sudah berkumandang ucapan-ucapan hari lahir daripada teman-teman. Tinggal di dorm yang didiami dengan hampir 30 orang, pastilah bila ada yang memecahkan sunyi malam, akan ada yang menyambut dan menggemakan suasana. Ucapan hari lahir sudah saya terima bertalu-talu dari semalam, dan sekarang, ada sesuatu pula yang menanti saya.

Lantas saya bertanya pada teman di sebelah saya, tahukah dia jika ada sesiapa yang datang menghampiri meja dan membuka laci saya. Teman saya menggeleng, tanda tidak tahu. Saya tanya pula kepada teman-teman yang berdekatan dengan saya. Semuanya tidak tahu. Berita saya mendapat hadiah hari lahir daripada seorang yang misteri mula tersebar ke telinga semua teman di dalam dorm. Mereka turut sama tertanya-tanya akan siapa yang memberi saya diari hijau cantik yang bila dibuka akan beralun muzik hari lahir yang indah, dan juga sebentuk hati merah besar. Spekulasi mula dicipta, mungkin saya punya peminat rahsia yang ingin benar saya mengetahui isi hatinya tanpa saya mengenali siapa dirinya. Mereka menambah lagi, mungkin sahaja orang itu mengirim bungkusan itu kepada teman perempuan saya dan memintanya meletakkan ia di dalam laci saya. Teman saya itu pula pasti diminta diam bila ditanya. Saya menafikan segala yang dikata.

Rasa ingin tahu saya semakin membara. Siapakah gerangan pemberi diari yang masih saya guna hingga kini? Terus saya menyenaraikan nama-nama yang saya rasa bersesuaian dalam minda saya. Saya tanya mereka satu-persatu, tetapi hampa. Mereka semua menidakkan. Saya sampai menjengah dorm di hadapan untuk bertemu dengan adik junior yang rapat dengan saya. Dia pernah memberikan saya keychain berbentuk epal yang berwarna hijau sebelum ini. Mungkin dia orang yang sama yang memberikan diari itu kepada saya –warna kesukaanya adalah hijau. Namun seperti yang lain, dia juga menggeleng. Persoalan terus menjadi tanda tanya.

Sehinggalah tiba pada satu hari –saya lupa bagaimana dan bila masa masanya; mungkin sebelum saya mengambil SPM, atau mungkin juga selepasnya, juga saya lupa apa tujuannya –saya dan teman saya berjalan-jalan di sebuah pasaraya. Mundar-mandir ke sana-sini dan melihat apa sahaja yang berada di hadapan mata. Teman saya meminta saya mengekorinya ke satu sudut. Saya menurut. Kami tiba di bahagian alatan tulis, dan sebetulnya di hadapan rak yang penuh dengan diari. Dia mengambil satu diari dan memberinya kepada saya.

     “Ingat lagi diari ini?”

Dan saya terus mengejarnya dalam gelak-ketawa dan bahagia yang masih bersisa tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang.




Syafiqah Hairudin, masih awak ingat semua itu?

Thursday, June 9, 2011

ujian

Kata Luqman, manusia berhak menguji manusia. Ujian itu boleh membenarkan atau menidakkan sesuatu yang mungkin membelenggu mereka. Mungkin ujian itu akan membuahkan kekecewaan, menyebabkan manusia bersugul dan berduka. Ujian itu juga mungkin memberikan sinar buat manusia, membuatkan mereka tersenyum dalam bahagia. Ujian mungkin boleh mendedahkan hakikat yang tersembunyi, tidak kira apa hasilnya.

Namun, Zul tidak pula sebulu dengan dia. Zul menegaskan, manusia memang berhak diuji, kerana hidup ini sendiri adalah ujian daripada Tuhan. Tapi Zul tidak bersetuju jika manusia yang memberi ujian, seolah-olah mereka yang diuji adalah bahan eksperimen. Ada hipotesis, pembolehubah dan kesimpulannya. Kata Zul lagi, kesimpulan yang dibuat manusia bukan betul semuanya. Ada yang dipengaruhi oleh emosi dan isu semasa.

Jadi, tepuk dada tanya selera.

Monday, June 6, 2011

memendam rasa

Bagi mereka Pak Salleh seorang yang kaya. Mana tidaknya, hasil tangannya terkenal dan dijual di merata-rata tempat. Bisnesnya jika dilihat dengan mata kasar, akan dilihat orang sebagai bisnes yang lancar tanpa sebarang masalah. Benar, semua pekerjaan juga memerlukan kesungguhan, kerajinan dan ketekunan. Mereka percaya sifat-sifat yang ada pada Pak Salleh itulah yang membuatkan nama dan hasil tangannya dikenali ramai. Melihat pada Pak Salleh yang kuat bekerja, mereka beranggapan bahawa Pak Salleh sudah mengaut banyak keuntungan atas usahanya selama ini.

Dengan senyuman dan gurau senda yang tidak pernah renggang daripada Pak Salleh, mereka benar-benar percaya yang Pak Salleh sudah memperoleh segala-galanya. Bagi mereka Pak Salleh beruntung dan bahagia. Pak Salleh tidak pernah memperlihatkan keletihan dan kepenatannya kepada ramai. Hanya senyum manis yang dihadiahkan kepada mata yang memandang, bukan duka yang ada di sebelah dalam.

Meski kerjanya dianggap memberi banyak pulangan, hakikat sebenar hanya Pak Salleh yang tahu. Di luar dia bahagia, di dalam dia derita. Pak Salleh seorang diri, memendam rasa dan tidak mempamerkan keluh kesahnya pada yang bertanya. Dia tidak pernah mengungkapkan apa yang tersimpan di kalbu. Apabila Mak Tipah bertanya, Pak Salleh tetap tidak memberitahu apa-apa. Pak Salleh tidak mahu isterinya resah dengan perkara itu, biarlah dia sahaja yang mengetahuinya.

Lama-kelamaan, bukan hanya Mak Tipah yang cuba mendekati Pak Salleh, anak-anaknya juga cuba untuk mencungkil perkara yang sering bermain di mindanya. Amna, anak Pak Salleh yang bongsu juga berusaha untuk membuka mulut ayahnya. Seperti yang lain, dia juga tidak mahu melihat Pak Salleh hanya berdiam diri dan meneruskan hari-hari yang mendatang seolah-olah tiada kerisauan yang melandanya.

Namun, walau didesak, Pak Salleh tetap begitu. Pak Salleh masih tersenyum dalam derita, seorang diri memendam rasa.

Wednesday, June 1, 2011

rahsia

Sesuatu bukan lagi rahsia jika ia dikhabar dan diceritakan kepada ramai. Bila namanya rahsia, yang menjadi rahsia itu harus disimpan baik-baik, harus dipegang baik-baik. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
Itu yang dikatakan oleh Aidil kepada Akif. Tetapi Akif sudah terlanjur membuka mulut. Kini, ia bukan lagi menjadi rahsia Aidil mahu pun Akif. Ia sudah menjadi buah mulut orang. Di mana-mana sahaja, mereka memperkatakan tentang hal itu.


Di mana Aidil mahu sorokkan wajah selepas semua itu berlaku? Toleh kanan, mereka menyebut namanya sambil tersenyum sinis. Toleh kiri, ada pandangan yang membawa seribu makna dihadiahkan kepadanya. Tunduk ke tanah, menyalahkan diri kerana membuka aib sendiri.

Disangkanya Akif mampu membawa amanah itu bersamanya. Akif temannya, pada siapa lagi boleh dia melepaskan resah di hati jika bukan pada sahabatnya. Dia terlupa, mungkin Akif tidak kuat bila diganggu dan diasak. Pengakhirannya, dia, Akif dan semua sudah tahu.

Lama dia berfikir. Merenung dan mencari kesimpulan
.
Ah, biarlah mereka tahu rahsia diriku. Biar dunia memandang sinis padaku dan mengata diriku. Baru satu rahsia diriku yang mereka tahu. Bagaimana agaknya reaksi mereka jika mereka tahu semuanya tentang aku?

Tunduk lagi.

Tuesday, April 12, 2011

Ingeta

 Cepat-cepat pulang dari kelas Dr. Salah dengan niat mahu menyiapkan Open Book Exam untuk UNGS 2030. At last, terperangkap dalam alam maya ini dengan keinginan mahu menulis sesuatu walaupun tiada motif yang bermakna.

***

Beberapa hari yang lepas, saya mendapat satu panggilan daripada emak. Katanya, adik saya accident. Sangkaan saya, kalau dah jatuh motor, pastilah lukanya ringan-ringan saja. Abang saya dulu pun pernah jatuh motor. Luka-luka penuh di badan, tapi dia masih boleh berjalan macam biasa. Bila kakak saya yang baik hati itu tolong MMSkan gambar adik saya, barulah saya tahu, luka adik saya teruk juga.

16 jahitan

Saya sekali lagi menelefon untuk bercakap dengannya. Subhanallah, cerianya suara dia, siap boleh gelak-gelak lagi. Itulah lelaki kan, berjiwa kental. Luka yang saya rasa agak dalam itu tidak memberi kesan yang mendalam pun pada dia. Syukurlah.


Dalam kelas tadi pun, Dr. Salah ada menyentuh tentang perbezaan perangai lelaki dan perempuan. Kata beliau, lelaki gagah dan cekal, manakala perempuan manja dan mudah tersentuh. Nabi Muhammad s.a.w pun pernah membuat perumpamaan yang perempuan itu seperti pasu, harus dijaga sebaik-baiknya supaya tidak pecah. Tapi tak semua perempuan itu lemah, kalau tidak masakan wujud sejarah-sejarah yang menceritakan ketabahan wanita-wanita cekal seperti Ainul Mardhiah, Sumayyah, Mashitah dan yang lain-lain kan?

Okay, time for UNGS!




* Mohon keampunan Allah atas dosa-dosa yang berlambak.

Tuesday, March 22, 2011

My Mom's birthday

Syukur Alhamdulillah, jari-jari masih mampu menari kali ini. Pulang dari Kedah dua hari lepas, badan rasa penat dan letih. Tapi bukan itu yang penting, ada sesuatu yang lebih bermakna yang saya peroleh.

Okay, saya tidak mahu bercerita tentang itu buat masa ini. Mungkin bila masanya tiba, saya akan coretkan sedikit pengalaman saya di sini, dan bila saya kata mungkin, akan ada dua kebarangkalian- mungkin ya, dan mungkin tidak. Segalanya bergantung kepada keadaan nanti. Buat masa ini,




HAPPY BIRTHDAY MOM!




You're the best Mom in the world.
May Allah bless and shower you with love always and forever.
I heart you so much... :)







# terlalu banyak kekurangan diri

Thursday, February 17, 2011

Picnics


Program: Rehlah Mahabbah DNP
Tempat: Sungai Pisang, Gombak
Tarikh: 12 Februari 2011


Perjalanan menuju ke tapak rehlah kami bukannya senang. Dengan barang-barang dan peralatan yang terlalu banyak, kami, sisters, banyak bergantung harap pada brothers untuk mengusung dan mengangkut barang-barang yang berat. Arus air yang agak deras membuatkan ramai sisters teragak-agak untuk menyeberang, namun bila kaki terkena air yang nyaman dan sejuk sedang di atas kepala matahari sedang tegak menyinar, terasa ingin sahaja membiarkan kaki lama di situ, sekadar mengurangkan rasa panas yang mula hinggap di tubuh.

Senang sekali melihat senyuman yang terukir di wajah sahabat-sahabat. Sungguh gembira mereka dapat bermain bersama, saling memercikkan air sesama sendiri, bergurau senda, penuh bahagia.

Petang menjelma, masing-masing mula risau memikirkan kewajipan solat yang belum ditunaikan, juga cuaca yang kian mendesak kami pulang. Seperti yang dijangka, hujan turun membasahi bumi dan tubuh kami. Saat ribut dan kilat mula bertamu, sepantas kilat jugalah kami mengemas dan bersiap untuk pulang.

Terima kasih buat brothers yang banyak memainkan peranan dalam memudahkan pihak sisters. Terima kasih tak terhingga juga kepada pimpinan DNP yang menganjurkan rehlah yang penuh bermakna ini.





Program: Rehlah PNK
Tempat: Ulu Yam, Selangor
Tarikh: 23 Januari 2010


Pertama kali diri bersama dengan sahabat-sahabat yang rata-ratanya baru dikenali, terasa diri agak kekok. Sesi taaruf yang diadakan pada awal program banyak membantu dalam menyesuaikan diri dengan suasana ini.

Program berjalan lancar dengan kerjasama yang diberikan oleh semua. Ketika satu kumpulan membakar ayam, satu kumpulan lagi rancak dengan permainan dan sukanekanya; brothers dengan taktik mereka demi tidak mahu kalah pada sisters, sisters yang tidak puas hati dengan helah brothers- akhirnya semua mengalah demi persahabatan dan ukhuwah yang mekar terbina.

Seronok kali brothers bermandi-manda sedang ramai sisters hanya melihat dari tebing. Tempat yang agak sempit tidak membenarkan sisters turut sama turun ke dalam air, sehinggakan ada sesetengah brothers dengan baldinya, cuba mengacah dan membaling air ke arah sisters. Ada yang basah lencun, tak kurang juga yang terselamat daripada cubaan mereka.





Dua rehlah yang saya sempat sertai sepanjang hampir dua tahun saya bersama PERKIM. Seperti juga rehlah yang dianjurkan DNP, kami terpaksa menyuap nasi yang berkuahkan air hujan ketika rehlah PNK. Namun dari aspek yang lain, rehlah DNP sangat-sangat mencabar kami.

Jika masa rehlah PNK, langit sekadar mencurahkan hujan yang lebat, namun rehlah DNP kali ini menguji kami dengan ribut dan kilat. Namun Alhamdulillah, kedua-dua rehlah berakhir dengan kesudahan yang baik, dan kedua-duanya juga berbekas di dalam hati dan jiwa saya.