Program: Rehlah Mahabbah DNP
Tempat: Sungai Pisang, Gombak
Tarikh: 12 Februari 2011
Perjalanan menuju ke tapak rehlah kami bukannya senang. Dengan barang-barang dan peralatan yang terlalu banyak, kami, sisters, banyak bergantung harap pada brothers untuk mengusung dan mengangkut barang-barang yang berat. Arus air yang agak deras membuatkan ramai sisters teragak-agak untuk menyeberang, namun bila kaki terkena air yang nyaman dan sejuk sedang di atas kepala matahari sedang tegak menyinar, terasa ingin sahaja membiarkan kaki lama di situ, sekadar mengurangkan rasa panas yang mula hinggap di tubuh.
Senang sekali melihat senyuman yang terukir di wajah sahabat-sahabat. Sungguh gembira mereka dapat bermain bersama, saling memercikkan air sesama sendiri, bergurau senda, penuh bahagia.
Petang menjelma, masing-masing mula risau memikirkan kewajipan solat yang belum ditunaikan, juga cuaca yang kian mendesak kami pulang. Seperti yang dijangka, hujan turun membasahi bumi dan tubuh kami. Saat ribut dan kilat mula bertamu, sepantas kilat jugalah kami mengemas dan bersiap untuk pulang.
Terima kasih buat brothers yang banyak memainkan peranan dalam memudahkan pihak sisters. Terima kasih tak terhingga juga kepada pimpinan DNP yang menganjurkan rehlah yang penuh bermakna ini.
Program: Rehlah PNK
Tempat: Ulu Yam, Selangor
Tarikh: 23 Januari 2010
Pertama kali diri bersama dengan sahabat-sahabat yang rata-ratanya baru dikenali, terasa diri agak kekok. Sesi taaruf yang diadakan pada awal program banyak membantu dalam menyesuaikan diri dengan suasana ini.
Program berjalan lancar dengan kerjasama yang diberikan oleh semua. Ketika satu kumpulan membakar ayam, satu kumpulan lagi rancak dengan permainan dan sukanekanya; brothers dengan taktik mereka demi tidak mahu kalah pada sisters, sisters yang tidak puas hati dengan helah brothers- akhirnya semua mengalah demi persahabatan dan ukhuwah yang mekar terbina.
Seronok kali brothers bermandi-manda sedang ramai sisters hanya melihat dari tebing. Tempat yang agak sempit tidak membenarkan sisters turut sama turun ke dalam air, sehinggakan ada sesetengah brothers dengan baldinya, cuba mengacah dan membaling air ke arah sisters. Ada yang basah lencun, tak kurang juga yang terselamat daripada cubaan mereka.
Dua rehlah yang saya sempat sertai sepanjang hampir dua tahun saya bersama PERKIM. Seperti juga rehlah yang dianjurkan DNP, kami terpaksa menyuap nasi yang berkuahkan air hujan ketika rehlah PNK. Namun dari aspek yang lain, rehlah DNP sangat-sangat mencabar kami.
Jika masa rehlah PNK, langit sekadar mencurahkan hujan yang lebat, namun rehlah DNP kali ini menguji kami dengan ribut dan kilat. Namun Alhamdulillah, kedua-dua rehlah berakhir dengan kesudahan yang baik, dan kedua-duanya juga berbekas di dalam hati dan jiwa saya.