Sunday, July 24, 2011

sebentar sahaja lagi

Sebentar sahaja lagi
kau akan kehilangan rumah, tanah
serta saudara-mara yang sering kau banggakan
malikulmaut akan datang menjemputmu
kau akan dipulangkan
ke alamat paling muktamad.

Sebentar sahaja lagi
rohmu akan diterbangkan
ke alam lestari
kau kehilangan segala pilihan
yang selama ini sering kau tinggalkan.

Sebentar sahaja lagi
pintu fanamu akan ditutup rapat
kau akan berkesempitan ruang untuk berdalih,
tinggalkan sahaja alamat barumu
di pintu yang telah kau pilih.

Sebentar sahaja lagi
kau akan pulang ke rumah barumu
insan yang dekat denganmu
akan kautinggalkan jauh
mereka akan hanya mengenalimu
dari nisan yang mereka dekati.

Sebentar sahaja lagi
bertenanglah.



Oleh Allahyarham Sazalee Haji Yaacob





Andai kata dunia ini diperbuat daripada emas, ia tetap akan fana. Andai kata akhirat dibuat daripada tembikar, ia tetap akan kekal. Bagi orang yang berakal, dia pasti tidak menginginkan emas yang fana, sebaliknya memilih tembikar yang kekal.

No comments: