Tuesday, January 17, 2012

17 Januari 2012



Matahari masih malu-malu mempamerkan wajah. Awan-awan pula mengerumuni matahari, persis kesatria-kesatria gagah perkasa menjaga dan melindungi si puteri jelita. Deru pantai kedengaran perlahan, angin pula tidak terasa derasnya.

Ibu sedang asyik menyapu sampah di perkarangan rumah, kakak pula sedang berkira-kira untuk menuju ke mesin jahitnya selepas selesai bersarapan. Saya memanaskan air dan membancuh minuman kegemaran saya, minum, Alhamdulillah, nikmat sungguh rasanya.

Usai mengemas, saya terus ke sini, mengadap komputer riba dan berkira-kira untuk menulis sesuatu. Jari-jari meronta ingin menari, namun minda tidak dapat menterjemah apa yang mahu dicoretkan.

Termenung seketika.

Mungkin saya perlu menukar sedikit haluan minda saya, memberi peluang kepadanya untuk memperkatakan sesuatu yang mungkin bukan yang utama, namun masih boleh diluah dan dizahirkan.

Déjà vu, atau dalam bahasa yang lebih senang, gerak hati. Saya sering dibayangi dengan satu peristiwa yang saya yakin suatu hari nanti, ia pasti akan berlaku. Hati saya kuat mengatakan bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil dan boleh terjadi walau masanya tidak dapat saya agak. Saya berdoa dalam hati, andai ia benar-benar berlaku, saya ingin sekali berada di situ, menjadi saksi atas sesuatu yang mungkin berbekas dalam hati saya.

Namun itulah kenyataan. Kita hanya mampu merancang, tapi segalanya Tuhan yang menentukan. Ingin saja saya memutarkan masa, agar saya bisa berbuat sesuatu, agar saya boleh melenyapkan rasa kecewa ini di dada. Ia sudah berlaku, dan yang paling tepat, ia sudah berlaku semalam. Dan saya, ya, saya tidak berada di situ. Saya sudah jauh, dan saya memang tidak boleh berpatah balik.

Tuhan punya rencana, pasti ada hikmahnya. Jika bukan semalam, mungkin hari esok saya masih mempunyai peluang. Mungkin ia akan berlaku lagi, dan saya akan terus berharap. Andai ia berulang, saya mahu menjadi salah seorang daripadanya.

Matahari masih di situ, awan-awan masih tidak mahu berganjak, deru pantai masih kedengaran sama, dan angin tiada apa yang berbeza.

Ibu hampir siap menyapu sampah. Kakak pula sedang khusyuk dengan kain dan mesin jahitnya. Dan saya masih di sini, masih menghirup aroma Nescafe kegemaran saya.

[Pemalas kan saya? :P ]

1 comment:

dewdrop said...

beautiful, nusaibah :)