Thursday, January 26, 2012

wedding



Bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan.

Gembira saja yang terpancar pada wajah kedua mempelai. Alhamdulillah, mereka sudah sah menjadi suami isteri, sudah melengkapkan separuh daripada agama.

Dua hari saya berada di Setiu baru-baru ini, di rumah sepupu saya. Ramai saudara-mara yang datang, meriah tidak terkira. Hari pertama, akad nikah berjalan dengan lancar. Kerja tersangat banyak, namun dengan bilangan saudara-mara yang juga tersangat banyak, saya hanya goyang kaki, sekadar menolong untuk menjaga dan mengawasi anak-anak kecil.

Hari kedua, kenduri. Sebelah pagi, tugas saya masih sama, sekadar melayan kerenah anak-anak kecil yang menangis untuk disuap makan, berkejaran ke sana-sini, mendukung dan bermain bersama mereka. Di luar rumah tetamu sudah semakin ramai. Selepas Zohor barulah saya memulakan tugas bersama sepupu-sepupu saya di tempat basuhan, membasuh pinggan-pinggan dan gelas-gelas yang telah digunakan. Sudah menjadi adat mungkin, kerja membasuh ini dimonopoli oleh kaum lelaki. Maka saya dan hanya beberapa sepupu yang perempuan hanya diam melayan dan mendengar celoteh mereka. Sempat juga saya berkongsi cerita dengan sepupu saya yang pernah belajar di UIA satu ketika dahulu.

Bercakap mengenai sepupu-sepupu yang lelaki ini, saya kira banyak pengajaran yang boleh saya ambil daripada perbualan mereka yang boleh dikatakan mengarut itu. Yang paling terkesan dalam diri saya adalah pandangan mereka terhadap fesyen wanita masa kini. Ya, mereka sukakan perempuan yang tidak berlebih-berlebih dalam bergaya dan dan berfesyen. Rata-rata perbualan mereka memang tidak lari daripada isu itu, tapi ia tetap diselang-selikan dengan jenaka dan pose istimewa saat terlihat ada kamera yang menuju ke arah kami.

Petang menjelma, tetamu mulai kurang. Seorang demi seorang mula meninggalkan tempat ‘kerja’ kami sehingga akhirnya hanya tinggal saya dan seorang lagi seorang sepupu saya. Kami terus mengelap pinggan-pinggan dan gelas-gelas yang sudah dibasuh sambil sesekali berbicara. Mungkin kerana sudah penat untuk membuka mulut, kami banyak melayan perasaan masing-masing. Saya mula teringat pada ucapan Sir Zainul, lecturer saya di UIA tentang hal perkahwinan.


“ Kita nak bina hidup baru, tapi kenapa kita mulakan ia dengan sesuatu yang tidak baik?”

Saya setuju dengan kata-kata beliau. Sudah menjadi lumrah pada hari perkahwinan, pengantin perempuan akan disolek cantik dan menawan beberapa jam sebelum masuk waktu solat. Bila azan dilaungkan, pengantin sudah bersiap sedia dalam persalinan yang indah. Sentuhan akhir terus diberi sehinggalah pengantin kelihatan cukup sempurna untuk bertemu muka dengan pengantin lelaki dan orang ramai. Bila sudah didandan rapi sebegitu, maka hilanglah keutamaan untuk sujud kepada Tuhan.

‘Takkan la senang-senang je nak basuh muka ambil wuduk, nanti hilang la segala mekap ni. Bukannya senang nak mekap balik.’

Hingga azan untuk waktu solat yang seterusnya berkumandang pun, pengantin dilihat masih mesra dan tersenyum bahagia melayan tetamu-tetamu yang hadir. Betul, mereka datang meraikan pengantin dan pengantin harus menghargai mereka, tapi pengantin harus ingat keutamaan mereka. Panggilan Allah tetap harus menjadi yang utama.


“Relax Ibah, tetamu tak ramai pun. Tak yah nak tension-tension lap pinggan tu”.

“Hehe…”

Saya tersenyum. Serius sangat ke muka saya bila tengah melayan perasaan tu? Okay, kembali senyum dan sambung kerja.


[ Maaf jika ada yang terasa. ]

1 comment:

fatinnur said...

bila pulak awk punya?hihihi..
kawen2 jugak,solat jgn lupa..
betul2,kalau nak bina hidup baru,jgn mulakan dgn perkara yg tak baik....