Thursday, February 17, 2011

Picnics


Program: Rehlah Mahabbah DNP
Tempat: Sungai Pisang, Gombak
Tarikh: 12 Februari 2011


Perjalanan menuju ke tapak rehlah kami bukannya senang. Dengan barang-barang dan peralatan yang terlalu banyak, kami, sisters, banyak bergantung harap pada brothers untuk mengusung dan mengangkut barang-barang yang berat. Arus air yang agak deras membuatkan ramai sisters teragak-agak untuk menyeberang, namun bila kaki terkena air yang nyaman dan sejuk sedang di atas kepala matahari sedang tegak menyinar, terasa ingin sahaja membiarkan kaki lama di situ, sekadar mengurangkan rasa panas yang mula hinggap di tubuh.

Senang sekali melihat senyuman yang terukir di wajah sahabat-sahabat. Sungguh gembira mereka dapat bermain bersama, saling memercikkan air sesama sendiri, bergurau senda, penuh bahagia.

Petang menjelma, masing-masing mula risau memikirkan kewajipan solat yang belum ditunaikan, juga cuaca yang kian mendesak kami pulang. Seperti yang dijangka, hujan turun membasahi bumi dan tubuh kami. Saat ribut dan kilat mula bertamu, sepantas kilat jugalah kami mengemas dan bersiap untuk pulang.

Terima kasih buat brothers yang banyak memainkan peranan dalam memudahkan pihak sisters. Terima kasih tak terhingga juga kepada pimpinan DNP yang menganjurkan rehlah yang penuh bermakna ini.





Program: Rehlah PNK
Tempat: Ulu Yam, Selangor
Tarikh: 23 Januari 2010


Pertama kali diri bersama dengan sahabat-sahabat yang rata-ratanya baru dikenali, terasa diri agak kekok. Sesi taaruf yang diadakan pada awal program banyak membantu dalam menyesuaikan diri dengan suasana ini.

Program berjalan lancar dengan kerjasama yang diberikan oleh semua. Ketika satu kumpulan membakar ayam, satu kumpulan lagi rancak dengan permainan dan sukanekanya; brothers dengan taktik mereka demi tidak mahu kalah pada sisters, sisters yang tidak puas hati dengan helah brothers- akhirnya semua mengalah demi persahabatan dan ukhuwah yang mekar terbina.

Seronok kali brothers bermandi-manda sedang ramai sisters hanya melihat dari tebing. Tempat yang agak sempit tidak membenarkan sisters turut sama turun ke dalam air, sehinggakan ada sesetengah brothers dengan baldinya, cuba mengacah dan membaling air ke arah sisters. Ada yang basah lencun, tak kurang juga yang terselamat daripada cubaan mereka.





Dua rehlah yang saya sempat sertai sepanjang hampir dua tahun saya bersama PERKIM. Seperti juga rehlah yang dianjurkan DNP, kami terpaksa menyuap nasi yang berkuahkan air hujan ketika rehlah PNK. Namun dari aspek yang lain, rehlah DNP sangat-sangat mencabar kami.

Jika masa rehlah PNK, langit sekadar mencurahkan hujan yang lebat, namun rehlah DNP kali ini menguji kami dengan ribut dan kilat. Namun Alhamdulillah, kedua-dua rehlah berakhir dengan kesudahan yang baik, dan kedua-duanya juga berbekas di dalam hati dan jiwa saya.

Monday, February 14, 2011

Nusaibah- Serikandi Islam Terbilang

Pernah satu malam, seorang sahabat menegur.

"Nusaibah tu rupa-rupanya nama sahabat Nabi S.A.W ya. Saya tak pernah dengar sebelum ini".

Saya mengangguk.

Ya, Nusaibah merupakan sahabat Nabi yang sentiasa bersama Baginda mempertahankan agama. Tidak seperti serikandi-serikandi yang lain, nama Nusaibah jarang didengar dan diketahui.

Acap kali kenalan saya terkesima dan tidak dapat menyebut nama saya dengan baik saat awal perkenalan. Banyak yang berkata itu adalah kali pertama mereka mendengar nama Nusaibah.

Namun di UIA, nama Nusaibah agak dikenali kerana Nusaibah merupakan salah satu nama hisbah di Mahallah Khadijah, PJ dan juga salah satu nama mahallah di Gombak.

Kawan-kawan pernah mendengar nama Nusaibah sebelum ini?


Mari saya kongsi sedikit latar belakang Nusaibah- Nusaibah binti Ka'ab, Serikandi Islam Terbilang.



Nusaibah binti Ka'ab terkenal dengan gelaran Ummu Umarah. Nusaibah dikurniakan dua putera, Abdullah dan Habib hasil perkahwinannya dengan Zaid bin Ashim. Nusaibah bersama suami dan kedua-dua puteranya sentiasa berada bersama Rasulullah dalam peperangan mendaulatkan Islam.

Dalam peperangan Uhud, Nusaibah memberi minum kepada tentera-tentera Allah yang cedera. Saat kemenangan hampir jatuh ke pihak Musyrikin, Nusaibah tanpa rasa gerun berada di hadapan Rasulullah dan bersungguh-sungguh melindungi dan mempertahankan Baginda daripada panah-panah kaum Musyrikin sehingga mendapat dua belas kesan luka di badannya.

Saat puteranya, Habib cedera, Nusaibah segera datang merawat luka tersebut dan terus meminta puteranya kembali berjuang usai sahaja luka tersebut dirawat. Apabila mendengar berita Abdullah pula yang cedera, Nusaibah segera menebas betis orang yang mencederakan puteranya sehingga orang itu terjatuh dari kudanya. Melihat luka-luka yang terdapat di badan Nusaibah, Rasulullah terus berkata bahawa telah dijanjikan syurga bagi Ummu Umarah ini.

Nusaibah juga turun bersama dalam Perjanjian Aqabah, Perang Hunain, Perang Hudaibiah, dan Perang Khaibar. Dalam Perang Yumamah, Nusaibah berperang dengan berani sehingga kehilangan salah satu tangannya. Keberaniannya dipuji oleh khalifah Umar Al-Khattab, khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan panglima Khalid Al-Walid.


Sumber:
http://komuniti.iluvislam.com/index.php?/topic/22487-tokoh-nusaibah-binti-kaab/http://mujahiddien.wordpress.com/2007/11/04/nusaibah-binti-ka%E2%80%99ab-al-ansariyyah/ 



Banyak lagi kisah yang menceritakan hal Nusaibah binti Ka'ab memperjuangkan Islam. Search saja di google, banyak maklumat yang akan kita dapat.


***

Mampukah saya menjadi Nusaibah?
Doakan ya kawan-kawan  :)

Wednesday, February 9, 2011

Petise#4


Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru ku menyeru sekalian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging


Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.


***
Banyak kali diri terleka, lemas dalam dunia. 
Bagaimana nanti di akhirat sana, dengan amalan dan jariah yang sekelumit cuma?


Ya Allah, selamatkanlah kami semua dari api neraka-Mu yang hangat membara.

Monday, February 7, 2011

Bersedekahlah

Seorang gadis datang menemui Rasulullah S.A.W dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya.

"Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"

Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku padanya: "Ya,Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini”, balas gadis tadi.

"Jika tidak keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku."

Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut."Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata". Gadis itu berhenti seketika menahan sebak.

"Kemudian kulihat ditangan kirinya ada seketul keju dan ditangan kanannya ada sehelai tuala kecil.Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah
seorang hamba yang patuh dengan ajaran Islam dan isteri yang taat kepada suaminya?

Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.

Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga Nabi. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku. "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menanggung azab di neraka.Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia kulihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama”.

Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah SWT dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika didunia.

Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur.

Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecurteruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah." Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir dipipi.

Rasulullah kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah SWT. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat islam. Lalu berkat kebesaran-Nya tangan gadis tersebut sembuh.

Rasulullah lantas berkata, "Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun. Insya-Allah".

Monday, January 31, 2011

Petise#3


Apakah kubur yang berjalan bersama penghuninya?

Ikan yang menelan Nabi Yunus sehingga baginda dibawa mengelilingi tujuh lautan.



Apakah makhluk yang dapat mengingatkan bangsanya, tetapi bukan dalam kalangan jin dan manusia?

Semut dalam kisah Nabi Sulaiman. Semut tersebut bersuara, 'Wahai para semut! Masuklah ke dalam sarang anda semua agar tidak dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman dalam keadaan mereka tidak sedar'.



Apakah 5 makhluk yang berjalan di muka bumi ini, tetapi tidak satu pun lahir dari kandungan ibunya?

Nabi Adam, isterinya Siti Hawa, unta Nabi Salleh, kambing Nabi Ibrahim yang digantikan oleh Allah tatkala keazamannya untuk mengorbankan Nabi Ismail, dan ular yang menjelma dari tongkat Nabi Musa.


- Cinta Medeni, Dr. Faisal Tehrani -





Mampu memahami, namun sukar menafsir.

Monday, January 24, 2011

Saya rindu Arwah Nenek

Entah mengapa, ketika ini, rasa rindu bertalu-talu datang, membawa kembali ingatan saya pada kenangan bersama arwah nenek. Rasa sayu dalam hati setiap kali teringat wajah arwah, rasa rindu pada suaranya yang selalu menyebut kalam Tuhan, rasa menyesal kerana tidak banyak meluangkan masa dengannya ketika arwah masih hidup.

Memori lalu asyik menari-nari dalam kepala.



Saya sedang menyiapkan kerja sekolah rendah saya pada satu petang. Meja study yang bersebelahan dengan tingkap yang mengadap pantai selalu mejadi pilihan. Dengan bunyi ombak dan angin lembut yang berdesir, terasa nyaman dan indah sekali. Setiap patah perkataan yang tertulis di buku pun dengan mudah dapat difahami. Sungguh asyik. Tiba-tiba, terdengar suara arwah memanggil nama saya dari biliknya. Ya, konsentrasi saya terganggu. Dengan malas saya bangun dan menuju ke bilik arwah. Arwah meminta saya mengurut belakangya yang lenguh. Hati saya meronta-ronta tidak mahu dan ingin segera menyambung kerja sekolah saya, namun saya terpaksa jua menurut pemintaan arwah. Paling tidak boleh saya lupa sehingga sekarang, selesai sahaja saya mengurut belakangnya, arwah terus menghulur RM5 kepada saya sebagai upah. Saya terus terdiam. Sungguh, saya sama sekali tidak menyangka yang arwah akan berbuat begitu, dan perasaan menyesal kerana tidak mengurut arwah dengan baik pada masa itu masih terasa hingga kini.


Habis peperiksaan SPM, arwah diserang angin ahmar. Kakak dan saya yang selalu berada di rumahlah yang selalu menyuap arwah makan, memicit dan mengurut kakinya yang tidak boleh bergerak, dan melayan segala permintaan arwah. Mak pula akan setia di sisi arwah pada sebelah malamnya. Ayah pula tidak kisah dengan mak yang hampir setiap malam tidur di sebelah arwah. Kadangkala ayah juga turut sama menghampar tilam di sisi arwah dan tidur berjemaah di situ.

Semasa orang lain sedang membaca surah Yaasin di rumah, saya pula asyik menyuap arwah makan. Majlis bacaan Yaasin itu memang sengaja diadakan melihatkan kondisi arwah yang masih sama seperti mula-mula diserang angin ahmar dulu. Memang, dengan umur arwah yang sudah mencecah 90 tahun ketika itu, semua orang tidak mengharapkan lebih daripada yang sepatutnya. Arwah makan sangat banyak ketika itu. Habis satu mangkuk, arwah minta semangkuk lagi. Berselera benar arwah makan cocktail yang mak buat.



Ya Allah, saya sangat rindukan arwah. Sering sahaja saya termimpikan beliau, gembira bersama-sama saya. Bila bangkit dari tidur, saya jadi keliru. Arwah dah tiada kan? Tapi kenapa saya terasa seolah-olah arwah masih hidup?

Ya Allah, rahmatilah arwah di alam sana...




***

Usai membaca Mathurat selepas Maghrib tadi, saya terlelap. Bila saya tersedar, saya ternampak sekujur tubuh sedang terbaring di atas katil. Rupa-rupanya roommate saya pun tertidur seperti saya!

Kenyataannya, bila saya melihat roommate saya yang tertidur dengan telekung masih di badannya itu, terus saya teringat pada arwah nenek. Dan itulah starting point yang membuatkan saya rindu sangat-sangat pada arwah ketika ini.




Kepada roommate saya, lepas ni jangan tidur macam tu lagi. Serius nampak macam mayat.  :D

Sunday, January 23, 2011

Tengok haiwan di Zoo

Mungkin orang lain sudah lama sampai ke sini, atau mungkin sudah beberapa kali kalian singgah ke sini. Namun, Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga menjejakkan kaki ke Zoo Negara semalam. Seharian kami mundar-mandir di sana, yalah, baru berbaloi RM25 yang kami bayar tu. Semua tempat kami singgah kecuali Ape Centre sebab kaki dah terlalu lenguh dan kewajipan Zohor yang belum ditunaikan.


Here are some pictures:











Seronok dapat tengok persembahan daripada singa laut. Namun terdetik rasa kasihan pada haiwan tersebut apabila ia tidak diberi upah makan apabila tidak dapat mencapai aras tinggi yang ditetapkan oleh jurulatih ketika melompat. Sepanjang jalan-jalan kat sana, fikiran asyik teringat je kat Alex, Marty, Melman dan Gloria dalam kartun Madagascar tu. Oh, saya memang jumpa diorang semua kat sini, tapi terlupa nak ambil gambar. ;)


Jalan ke Zoo Negara;
LRT Stesen U - Wangsa Maju  (RM2.40)
Naik bas no. 34 atau teksi (RM5- RM7)





* Insya-Allah, minggu depan nak ke RTK. Rindu adik-adik kat sana.   ;(