Monday, January 24, 2011

Saya rindu Arwah Nenek

Entah mengapa, ketika ini, rasa rindu bertalu-talu datang, membawa kembali ingatan saya pada kenangan bersama arwah nenek. Rasa sayu dalam hati setiap kali teringat wajah arwah, rasa rindu pada suaranya yang selalu menyebut kalam Tuhan, rasa menyesal kerana tidak banyak meluangkan masa dengannya ketika arwah masih hidup.

Memori lalu asyik menari-nari dalam kepala.



Saya sedang menyiapkan kerja sekolah rendah saya pada satu petang. Meja study yang bersebelahan dengan tingkap yang mengadap pantai selalu mejadi pilihan. Dengan bunyi ombak dan angin lembut yang berdesir, terasa nyaman dan indah sekali. Setiap patah perkataan yang tertulis di buku pun dengan mudah dapat difahami. Sungguh asyik. Tiba-tiba, terdengar suara arwah memanggil nama saya dari biliknya. Ya, konsentrasi saya terganggu. Dengan malas saya bangun dan menuju ke bilik arwah. Arwah meminta saya mengurut belakangya yang lenguh. Hati saya meronta-ronta tidak mahu dan ingin segera menyambung kerja sekolah saya, namun saya terpaksa jua menurut pemintaan arwah. Paling tidak boleh saya lupa sehingga sekarang, selesai sahaja saya mengurut belakangnya, arwah terus menghulur RM5 kepada saya sebagai upah. Saya terus terdiam. Sungguh, saya sama sekali tidak menyangka yang arwah akan berbuat begitu, dan perasaan menyesal kerana tidak mengurut arwah dengan baik pada masa itu masih terasa hingga kini.


Habis peperiksaan SPM, arwah diserang angin ahmar. Kakak dan saya yang selalu berada di rumahlah yang selalu menyuap arwah makan, memicit dan mengurut kakinya yang tidak boleh bergerak, dan melayan segala permintaan arwah. Mak pula akan setia di sisi arwah pada sebelah malamnya. Ayah pula tidak kisah dengan mak yang hampir setiap malam tidur di sebelah arwah. Kadangkala ayah juga turut sama menghampar tilam di sisi arwah dan tidur berjemaah di situ.

Semasa orang lain sedang membaca surah Yaasin di rumah, saya pula asyik menyuap arwah makan. Majlis bacaan Yaasin itu memang sengaja diadakan melihatkan kondisi arwah yang masih sama seperti mula-mula diserang angin ahmar dulu. Memang, dengan umur arwah yang sudah mencecah 90 tahun ketika itu, semua orang tidak mengharapkan lebih daripada yang sepatutnya. Arwah makan sangat banyak ketika itu. Habis satu mangkuk, arwah minta semangkuk lagi. Berselera benar arwah makan cocktail yang mak buat.



Ya Allah, saya sangat rindukan arwah. Sering sahaja saya termimpikan beliau, gembira bersama-sama saya. Bila bangkit dari tidur, saya jadi keliru. Arwah dah tiada kan? Tapi kenapa saya terasa seolah-olah arwah masih hidup?

Ya Allah, rahmatilah arwah di alam sana...




***

Usai membaca Mathurat selepas Maghrib tadi, saya terlelap. Bila saya tersedar, saya ternampak sekujur tubuh sedang terbaring di atas katil. Rupa-rupanya roommate saya pun tertidur seperti saya!

Kenyataannya, bila saya melihat roommate saya yang tertidur dengan telekung masih di badannya itu, terus saya teringat pada arwah nenek. Dan itulah starting point yang membuatkan saya rindu sangat-sangat pada arwah ketika ini.




Kepada roommate saya, lepas ni jangan tidur macam tu lagi. Serius nampak macam mayat.  :D

2 comments:

atiey_ika said...

erk..

mujur awk tak bacekn yasin pd roomate tu kan?

lau tak, dia bangun pun confuse dia tu idop lg ke tak..

Amiey White said...

errr...len kali kejut roomate awak tu takut dia da...
agagagagaga