Friday, October 29, 2010

Soir

Cuaca mendung. Sebentar lagi mungkin hujan akan turun. Terdengar seakan-akan derap kaki di bawah sana. Dia menjenguk ke jendela. Benar, seorang gadis sedang berlari-lari di gelanggang itu. Bersenam agaknya. Petang-petang begini memang ramai yang memilih untuk bersukan, menyihatkan badan. Dia mengecilkan mata. Dia seolah-olah mengenali gadis itu, tapi benarkah dia yang dimaksudkan?

Dia ingin menjerit memanggil gadis itu, namun dia tahu, suaranya pasti tidak akan kedengaran dari jarak yang memisahkan mereka. Dia mula mempersiapkan diri, mahu bertemu gadis yang sudah mengelilingi gelanggang itu entah untuk ke berapa kali. Ya, dia akan bertemu gadis itu.

Pakaian yang sesuai dikenakan, bimbang juga kalau2 nanti dia mendapat perhatian yang lebih jika memakai pakaian yang bukan2. Sejenak, dia kembali ke satu2nya jendela yang ada di biliknya, mahu memastikan bahawa gadis itu masih di situ.

Senyumannya mati. Hampa.

Gadis itu sudah berlalu.

Dia kembali ke katil, merebahkan badan. Ingin mengeluh, namun dia tahu itu bukan sesuatu yang wajar dilakukan. Mata dipejam, mengingat kembali saat2 awal pertemuan. Senyum terukir kembali.

“Atie, kalau bukan hari ni, hari esok pasti kita akan berjumpa lagi. Ika pasti!”




 entry ini tiada motif. 
sekadar menulis mengikut gerak tari jari.


Thursday, October 28, 2010

Pemurahnya mereka...



Apabila mati anak Adam, maka terputuslah semua amalannya, kecuali 3 perkara:
sedekah jariah, ilmu yang berguna, dan anak soleh yang mendoakannya.


Mulianya hati mereka yang masih merasa perlu untuk membantu insan2 yang memerlukan.
Bersihnya hati mereka kerana masih cuba menghulurkan tangan pada insan2 yang dalam kesusahan.

Mereka yang masih belajar, juga dalam krisis kewangan untuk membiayai pengajian. Buku2 banyak yang diperlukan, semuanya mesti menggunakan wang. Namun mereka masih tersenyum membuka dompet dan tas tangan, dengan niat bersedekah untuk meringankan beban. Betapa hebatnya mereka.



Pahala mereka pasti berganda; pahala menuntut ilmu di jalan Allah, dan pahala menggembirakan hati orang lain.


Tuesday, October 26, 2010

Lalat; tentera Allah

Sebuah cerita yang diterima dari Hussain yang didengarnya dari Abdullah, dari Suaid bin Sa'id, dari Abu Al-Muhayyah, beliau berkata : Seorang lelaki telah bercerita kepadaku: "Kami ada satu rombongan pergi mengembara, di antara kami ada seorang yang memaki Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Kami sudah menghalangya tetapi dia tidak menghentikan perbuatannya."

"Di tengah perjalanan kami berhenti kerana berasa terlalu penat. Ada dia antara kami yang memanfaatkan masa untuk berehat, minum air dan sebagainya. Kawan kami yang memaki Saidina Abu Bakar As-Siddiq tadi pergi agak jauh."

"Tiba-tiba kami dikejutkan dengan teriakannya yang kuat meminta tolong. Kami fikir dia digigit ular atau diesengat lebah. Kami berkejar ke arahnya. Rupanya dia diserang oleh segerombolan lalat yang ganas seperti bangkai yang dikerumuni lalat."

"Kami sedaya upaya menolongnya tetapi sengatan lalat itu lebih bisa daripada sengatan lebah. Kami terpaksa lari dari tempat itu. Setelah lalat itu pergi meninggalkan kawan kami itu, kami dapati anggota tubuhya ada yang terputus."


Ini adalah balasan daripada Allah terhadap orang yang memaki sahabat Rasulullah S.A.W.


Sunday, October 24, 2010

Jangan marah

Imam Syafie ada menegaskan: “Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:


1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca istighfar kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Friday, October 15, 2010

Sekadar coretan

Jari terasa ingin menari, walau tiada apa yang ingin dikongsi. Diri terasa rindu untuk berkarya, namun idea tidak mahu muncul di minda. Ruang hati kini sepi, semangat yang membakar tiada lagi.

Alam persekolahan yang mengajar saya menghargai bahasa, alam yang membuka minda dan mata, alam yang saya mula mengenali nilai estetik dalam karya; tidak pernah saya lupa.



Kata hati

Kata yang terukir
lahir dari sini
lubuk hati yang dalam
terkandung segala rahsia
suka duka aku
dalam mencari satu titik noktah
yang aku tidak pasti pangkalnya.
(KIST, 2007)


Sepi sendiri

Ia diburu
segala rasa bermukim di dada
tak tahu di mana
nak dilarikan diri
ingin sepi sendiri
tak mahu dijejaki
atau ditemani
cuma ia tahu
ingin ditempiaskan segala duri
lepas segala iri
tak mahu dibelenggu
perasaan sendiri.
(KIST, Feb 2008)



Katamu

Jika itu katamu
aku hanya turut setuju
meski hatiku pedih di ulu
terngiang-ngiang kalimah itu
diskriminasi yang kau hulur
terpaksa tanganku untuk menyambut
aku terima andai ini sudah ditentu
hingga tak terasa berat di bahu.
(KIST, Ogos 2008)



Melangkah keluar dari tanah barakah, akal seperti tidak mahu dikerah. Benar, saya tidak berbakat, tapi saya punya minat. Saya harus belajar dan terus menuntut, namun kekangan membuatkan niat saya terbantut. Semakin lama, semakin hilang minat saya ditelan masa. Kadang-kadang minat yang bersisa ingin bermanja; sesekali saya membelai mesra, sesekali terpaksa saya tepis jua.

Mungkin juga saya bukan orang yang bijak dalam membahagikan masa; masa untuk melayan minat dan juga masa untuk menyelesaikan amanat. Apa pun yang berlaku, saya harus mengaku. Saya bukan orang yang tidak peduli, namun kadangkala saya harus berdiri sendiri!




**Sekadar monolog diri, maaf jika tidak sampai ke hati.
**Kalau ada yang mahu memberi pandangan, dengan rendah diri saya mempersilakan.
** Walaupun niat saya mungkin tidak kesampaian, ucapan terima kasih tetap saya mahu ucapkan.

Thursday, October 14, 2010

Barisan ke Padang Mahsyar

Suatu ketika, Muaz bin Jabal R.A mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: ‘Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris’, Surah an-Naba':18. Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian baginda dengan air mata. Baginda lalu menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri." Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-



BARISAN PERTAMA
Diiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: “Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”


BARISAN KEDUA
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."


BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KEEMPAT
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka."


BARISAN KELIMA
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."


BARISAN KEENAM
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."


BARISAN KETUJUH
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."


BARISAN KELAPAN
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."


BARISAN KESEMBILAN
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."


BARISAN KESEPULUH
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."


BARISAN KESEBELAS
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih."



Semoga kita semua tergolong dalam barisan ke-12. Ameen.

Wednesday, October 13, 2010

Monday, October 11, 2010

School Of Excellence


Rindu yang lama ditanggung dilepaskan jua. Sehari bersama sahabat menziarahi guru-guru kami di sekolah, kegembiraan jelas terasa dalam sanubari. 

Minum pagi bersama Cikgu Mokhtar dan Sir Khalil, berbual-bual dengan para guru tentang perkembangan terbaru sekolah, berkenalan dan berborak dengan Mr. RJ dari California, makan tengahari bersama Pengetua dan Ustazah Maniah di dewan makan, bertanya khabar Kak Na yang menjaga koperasi, lepak-lepak di perpustakaan, bersembang dengan adik-adik tentang pelajaran mereka; kami berasa sangat seronok!
Namun, kekecewaan sedikit terasa kerana tidak dapat bersua dengan sebahagian guru dan staf atas kekangan tertentu; Ustaz Zul yang menghadiri mesyuarat di Dungun, Madam Keety yang terpaksa mengambil cuti kerana sakit mata, Achik yang ada appointment dengan doktor. 

Walaupun penat, terasa sangat berbaloi meghabiskan masa bersiar-siar di kawasan sekolah. 


~ masih sama ~

~ lengang waktu rehat ~



** terlupa nak snap banyak gambar sebab duk asyik bercakap


Saturday, October 9, 2010

Pada satu petang

Bersama-sama Alang menyelusuri pepasir putih, ditemani ombak-ombak kecil yang tidak henti-henti menghempas pantai. Angin lembut terus berdesir, membawa bersama senyum dan tawa kami yang tidak lekang di bibir. 

Alhamdulillah, selepas sekian lama mengenali Alang, Alang sampai juga ke rumah saya. 6 tahun persahabatan kami diserikan lagi dengan kemanisan silaturahim sesama ahli keluarga. Banyak kisah dikongsi bersama, banyak juga imbauan kenangan dan nostalgia. Seronok bersama Alang, namun rindu terhadap sahabat yang lain masih terasa. 



~ Adik & Alang ~

~ mawar agama ~

~ adik & sepupu ~

~ panorama ~



** Alang dah sampai rumah Adik, yang lain bila lagi?


Istimewa

Terang bulan memancar cahaya
angin malam mengundang ceria
mereka yang ada masih tertawa
hanya diri merasa bebannya
mereka yang hanya mampu menista
tidak sesekali cuba memuja

Ingin aku jerit pada dunia
aku bukan sekadar biasa
aku istimewa
walau dengan caraku yang menjengkelkan mereka



~ menatap keindahan bulan ciptaan Yang Esa


Monday, October 4, 2010

Tahniah untuk Kak Jie!


Alhamdulillah, 2 hari lepas, Kak Jie dah selamat bertunang. 
Pada asalnya, majlis hendak dibuat pada waktu malam, tapi atas permintaan pihak keluarga lelaki, majlis diadakan sejurus selepas Asar.
Majlis yang simple tapi cukup bermakna apatah lagi buat Kak Jie yang sudah bergelar tunangan orang.


Tahniah Kak Jie!







***
Happy Belated Birthday buat Uda Zatil yang menyambut ulangtahun kelahirannya semalam.
Semoga Uda sukses2 selalu.
Sayang Uda!