Jari terasa ingin menari, walau tiada apa yang ingin dikongsi. Diri terasa rindu untuk berkarya, namun idea tidak mahu muncul di minda. Ruang hati kini sepi, semangat yang membakar tiada lagi.
Alam persekolahan yang mengajar saya menghargai bahasa, alam yang membuka minda dan mata, alam yang saya mula mengenali nilai estetik dalam karya; tidak pernah saya lupa.
Kata hati
Kata yang terukir
lahir dari sini
lubuk hati yang dalam
terkandung segala rahsia
suka duka aku
dalam mencari satu titik noktah
yang aku tidak pasti pangkalnya.
(KIST, 2007)
Sepi sendiri
Ia diburu
segala rasa bermukim di dada
tak tahu di mana
nak dilarikan diri
ingin sepi sendiri
tak mahu dijejaki
atau ditemani
cuma ia tahu
ingin ditempiaskan segala duri
lepas segala iri
tak mahu dibelenggu
perasaan sendiri.
(KIST, Feb 2008)
Katamu
Jika itu katamu
aku hanya turut setuju
meski hatiku pedih di ulu
terngiang-ngiang kalimah itu
diskriminasi yang kau hulur
terpaksa tanganku untuk menyambut
aku terima andai ini sudah ditentu
hingga tak terasa berat di bahu.
(KIST, Ogos 2008)
Melangkah keluar dari tanah barakah, akal seperti tidak mahu dikerah. Benar, saya tidak berbakat, tapi saya punya minat. Saya harus belajar dan terus menuntut, namun kekangan membuatkan niat saya terbantut. Semakin lama, semakin hilang minat saya ditelan masa. Kadang-kadang minat yang bersisa ingin bermanja; sesekali saya membelai mesra, sesekali terpaksa saya tepis jua.
Mungkin juga saya bukan orang yang bijak dalam membahagikan masa; masa untuk melayan minat dan juga masa untuk menyelesaikan amanat. Apa pun yang berlaku, saya harus mengaku. Saya bukan orang yang tidak peduli, namun kadangkala saya harus berdiri sendiri!
**Sekadar monolog diri, maaf jika tidak sampai ke hati.
**Kalau ada yang mahu memberi pandangan, dengan rendah diri saya mempersilakan.
** Walaupun niat saya mungkin tidak kesampaian, ucapan terima kasih tetap saya mahu ucapkan.
No comments:
Post a Comment