Wednesday, November 3, 2010

Cinta; mudah dilafaz, sukar dibuktikan

Cinta adalah urusan hati. Tahap ketinggian cinta seseorang tidak dapat dinilai oleh pancaindera yang ada. Cinta yang dilafazkan oleh jutaan umat Islam, hanya tinggal slogan kosong tanpa roh lagi. Cinta umat Islam kepada Allah dan RasulNya, telah terhakis oleh kecintaan terhadap kebendaan yang semakin mendapat tempat dalam hati manusia. Mereka mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya tetapi tidak cintakan Allah dan RasulNya.

Dakwaan cinta kepada Allah dan RasulNya sewajar dibuktikan dengan tanda-tanda yang dapat disaksikan. Kecintaan seseorang kepada Allah, akan menjadikannya selalu ingat kepada Allah. “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal (iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi.” (Ali-Imran :190-191)

Menyebut nama Allah adalah satu perintah daripadaNya, dan bukan semata-mata tanda rindu kepadaNya. “Wahai orang yang beriman, sebutlah Allah dengan sebutan yang banyak” (Al-Ahzab : 41) Salah satu wasilah untuk mengingati Allah ialah melalui solat. Dalam solatlah dilafazkan pengagungnya dan harapannya menjadikan solat itu indah dan mengasyikkan. “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”(Thaaha : 14)

Adakah kita telah dan sedang mengingati Allah selayaknya orang yang mengaku cintakan Allah? Adakah ingatan kita hanya dalam solat lima waktu sehari semalam? Bahkan dalam solat sekalipun, kita masih mengingati selain daripada Allah. Golongan inilah yang disebut oleh Allah sebagai golongan munafik, kerana ucapan lidah mereka tidak menepati apa yang ada di dalam hati mereka. Cinta kita kepada Allah, seharusnya sentiasa panas dan segar, sesuai dengan nikmat yang banyak daripadaNya. “Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku” (Al-Baqarah : 152)



tise03237


1 comment:

Amiey White said...

Nampak tajuk ni buat nak baca :( betul semua ni...