Monday, November 1, 2010

Mereka pilihan Allah

Sebak di dada masih belum berkurang. Setiap kali teringatkan mereka, hati berasa sangat sayu. Mata pun terasa pedih, masih belum mampu menahan tangisan.

Alhamdulillah, Allah dah kurniakan saya satu peluang untuk bersama-sama mereka. Menghabiskan masa satu hari di sana, saya belum cukup puas memahami mereka. Saya mahukan lebih. Saya mahu bersama mereka lagi.

Masih terasa sayunya pelukan seorang adik yang duduk di riba, masih terasa pilunya apabila mereka merengek meminta disuapkan nasi, masih terasa syahdunya apabila mereka mengajak untuk bermain bersama. Mereka ketandusan kasih sayang, mereka tiada tempat bermanja, mereka tiada tempat untuk mengadu.

Terasa ingin mengalir air mata apabila seorang nenek mendakap dan mencium pipi saya ketika ingin bertolak pulang. Matanya merah, tangannya kuat memegang tangan saya seolah-olah enggan melepaskan saya pergi. Terasa diri ini sangat diperlukan apabila seorang kakak yang kurang upaya meminta saya memotong kukunya. Tangannya tidak kuat untuk melakukan sebarang kerja, jalannya juga terincut-incut.

Di sebalik penderitaan yang dialami, Allah dah janjikan kebahagian buat mereka. Mereka adalah yang terpilih. Mereka tiada ibu bapa, mereka berbeza daripada insan biasa, mereka yang diuji atas kesabaran mereka.

“Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ‘innalillahi wa inna ilahi raji’un’ (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah, 155-157)

Semoga mereka tabah melalui hari-hari yang bakal tiba. Insya-Allah, jika berkesempatan, saya pasti ke sana lagi. Rindu saya pada mereka tidak pernah surut.



Rumah Titian Kaseh
No. 62A-2, Lorong Maran
Off Jalan Kuantan
Tasik Titiwangsa
53200 Kuala Lumpur

Puan Sharifah: 0196455769


No comments: