[ Google ] |
Tahun 1999. Darjah 1 di Madrasah Darul Taqwa Batu 6.
Diri mula diajar segala cabang ilmu yang ada; ilmu ukhrawi dan ilmu duniawi. Banat dituntut untuk memakai tudung, namun diri yang ketika itu masih kecil dan tidak memahami apa-apa, hanya menutup kepala ketika perlu sahaja; di sekolah dan ketika solat.
Sehinggalah pada satu hari, saya bermain-main di pantai bersama jiran. Seronok. Ketika itu rambut hanya dilepaskan melayang, tidak terasa apa-apa yang salah. Tiba-tiba saya ternampak satu susuk tubuh semakin mendekati. Saya cuba mengecam siapa orangya. Sah, jiran saya yang juga senior saya di sekolah semakin menghampiri. Saya panggil dia Kak Chik.
Kak Chik setahun lebih tua daripada saya. Walaupun pada masa itu dia baru berada di Darjah 2, saya tidak pernah melihat dia keluar dari rumahnya tanpa menutup kepala. Saya kira keluarganya sangat tegas dalam hal ini. Tiba-tiba saya diserbu rasa segan dan malu. Lantas saya membuka langkah seribu dan berlari ke rumah, mengambil tudung, memakainya di kepala, dan kembali ke pantai untuk bermain.
Ketika itu saya memakai tudung hanya kerana rasa segan kepada Kak Chik, bimbang Kak Chik akan berfikir yang bukan-bukan pasal diri saya, juga bimbang Kak Chik akan mengkhabarkan hal itu kepada guru-guru di sekolah. Ketika itu saya masih jahil dan tidak tahu apa-apa. Namun bermula daripada saat itulah, tudung mula serasi dengan jiwa saya.
Sekarang, saya sudah mampu memahami segala-galanya. Segala yang Allah tetapkan ada maksud disebaliknya. Insya-Allah, sekarang saya bertudung bukan kerana takut atau malu dengan sesiapa, tapi saya bertudung kerana rasa malu saya kepada Allah. Banyak nikmat dan kurniaan yang Allah sudah bagi kepada saya, mana mungkin saya masih tidak mahu menurut perintah-Nya sedangkan perintah itu adalah untuk menjaga dan menyelamatkan saya di dunia dan akhirat.
Insya-Allah, tudung ini akan sentiasa kekal di kepala saya.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” (24:31)
No comments:
Post a Comment