Sambil belek-belek nota Fizik, telinga mendengar lontaran suara A. Samad Said mendeklamasikan sajak.
Sesekali mata menjeling ke arah skrin, memerhatikan aksara-aksara yang diungkapkan.
LANGKAH LESTARI
Sejak subuh ini resah mendera qalbuku
mendengar nafas bumi yang cuba syahdu.
Di tengah rimba aku tekun menyanggah lara,
mewarasi setiap suara derita atau rianya.
Subuh ini seluhur tekad kupadu qalbu
kerana terdengar rimba masih juga diganggu.
Dan walau anak rimba cuba tulus menyanyi
taring haloba masih bengis menoda bumi.
Di mana lagi dapat kuhirup udara yang murni,
setiap detik, dan serentak, terhidu elegi bumi?
Di sini—dedaun bersyair kepada leluhurnya,
bunga rimba cuba menari depan keluarganya.
Walau sungai serahsianya masih merdu mengalir,
kembaranya tetap resah di sisi ikan yang getir.
Dan kita mula terdengar suara rindu abad lalu,
menyerap gelak mewaras sedu, segala yang pilu.
Kita tidak akan rela berganjak mendakap alam
khusus ketika ia sedang terus terdera kejam;
kita tak rela dengar rintih rimba yang murung;
atau menyerap tangis dedaun dan sedu burung.
Kita berazam cekal berlawan di qalbu rimba
memanfaat setiap kitab lara dan buku sengsara.
Dan dengan sederap rentak dan sesyahdu suara
kita tetap bertekad melindungi rimba terdera.
Kau yang pendera usah berhelah atau berpura
kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.
(A. Samad Said)
TETAMU SENJA
Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
(A. Samad Said)
* * *
Rindu tanah itu.
Rindu pada seseorang yang membentuk pencinta buku.
Rindu yang tegar.
Rindu yang tak akan tersasar.
No comments:
Post a Comment