Friday, April 23, 2010

...The Beginning...


Zaman membangun, kemajuan dirintis. Makin ramai manusia yang berebut untuk mendapat tempat, namun saya tidak berasa perlu untuk menipu diri saya. Cukup jika saya mampu tersenyum dengan hasil yang saya kerjakan. Walaupun ia hanya sekelumit tinta, ia tetap datang hasil usaha saya kan? Dan sudah tentu, dengan izin-Nya.
 Ramai sahabat saya mempunyai blog, sebagai medan untuk berdakwah mahupun sekadar mencurahkan rasa. Saya? Saya ingin sekali menjadi pejuang agama, menyebarkan syariah islam, menegakkan agama yang sangat saya cinta. Namun saya kira saya masih lagi budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Bukan bermaksud saya tidak bersedia, tapi biarlah ia berputik beransur-ansur. Saya tidak mahu nanti saya pula yang terkial-kial mencari cahaya.
Keputusan ini saya buat secara drastik (mungkin). Sahabat saya yang seorang itu sering mencadangkan saya untuk menulis blog. Sejujurnya, hati saya memang terdetik untuk menurut katanya, namun bila memikirkan serba sedikit pro dan kontranya, dengan tegas saya menyatakan prinsip saya. Tidak, saya tidak akan menulis blog. Tiba pada satu malam, idea datang mencurah. Banyak rasa yang ingin saya luahkan, banyak jua yang saya ingin ceritakan. Lalu saya mula menjinakkan diri. Sayangnya, sahabat saya itu masih tidak mengetahui hal ini. Biarlah dulu. Mungkin nanti dia akan tahu sendiri. Sahabat saya, jangan marah nanti bila awak ketahui kenyataan yang saya sudah punyai blog. Bukan saya menyembunyikan kenyataan, jauh sekali mahu menipu, namun saya cukup malu untuk menyatakannya. Bagi saya, tidak mengapa jika blog ini tidak menarik perhatian sesiapa, kerana saya hanya mahu mencurahkan rasa, dan yang selebihnya, mungkin saya akan fikirkan kemudian. Cukuplah setakat ini. Jika ada yang membaca tulisan ini, maaf, saya bukan penulis yang bagus. Tapi cukup untuk menyenangkan hati saya kan?
Selamat berblog diri saya!

No comments: