30 April 2010, ayah saya dah genap berumur 49 tahun. Urm, dah matang ayah saya rupanya. [Ish, ada pulak cakap macam tu].
Ayah saya, seorang lelaki yang sangat saya kagumi dan sayangi dalam hidup saya. Ayah saya seorang yang kacak [sebagai anak memang la kena puji ayah sendiri], dengan uban sudah mula memutih di misai dan janggutnya. Ayah seorang tukang masak di sebuah kem askar, dan masakannya sangat sedap. Saya pun tak sepandai ayah saya dalam soal masakan [atau memang tak pandai langsung?].
Dalam keluarga saya, hanya ayah dan saya yang berkacamata. Ya, saya memang mengikut jejaknya. Bapa borek, anak rintik. Emak saya pun berkacamata juga sebenarnya, tapi emak memakainya untuk membaca sahaja.
Saya bangga dengan ayah saya, tak pernah mengenal erti penat dalam mencari rezeki untuk kami. Pagi-pagi sebelum Subuh lagi, ayah sudah bangun dan bersiap. Ayah bekerja jauh, hampir 2 jam perjalanannya menuju ke tempat kerja. Sebab itu ayah harus bangun awal, supaya tidak lambat tiba ke destinasi. Emak pula turut bangun untuk menghantar ayah ke muka pintu, setelah menyediakan sedikit minuman atau alas perut untuk ayah. Pulang dari kerja, kadangkala Maghrib sudah menjelma. Pernah juga ayah pulang lewat, ketika jam menghampiri angka 11 malam. Tapi ayah tak pernah merungut. Ayah pulang dengan senyuman terukir di bibirnya. Ayah memang perkasa!
Ayah seorang yang senang bergurau dan pandai mengambil hati orang. Saya suka sekali melihat ayah bergurau dengan adik yang bongsu, mempamerkan kemesraan dan keakraban kekeluargaan kami. Saya? Saya kurang bergurau dengan ayah. Mungkin kerana saya sudah meningkat dewasa, saya semakin segan dan malu dengan ayah untuk bergurau manja dengannya. Tapi bukan bermakna kami saling serius apabila berbicara, kami tetap ayah dan anak!
Hari ini, hari gembira buat ayah. Dan saya berada di sini, tidak dapat melihat wajah yang saya rindui itu. Tidak mengapa, suaranya sudah cukup membuatkan saya gembira. Ayah, saya tidak punya hadiah untuk diberikan pada ayah. Saya tahu, sampai bila-bila pun saya tidak akan mampu membalas jasa ayah dan emak. Tapi insya-Allah, saya akan berusaha menjadi anak yang cemerlang. Saya akan membahagiakan ayah dan emak, mungkin bukan dengan harta dan wang ringgit, tapi mungkin dengan rasa kasih dan sayang saya pada ayah dan emak, walaupun ia tidak pernah akan setanding dengan segala yang ayah dan emak telah curahkan buat saya. Maafkan segala kesalahan anakmu ini, ayah.
Buat ayah, Selamat Ulangtahun Kelahiran tulus daripada anakmu.
Saya sayang ayah!
Saya sayang emak!
No comments:
Post a Comment