Wednesday, April 28, 2010

...Jaja & Din...


Dah baca kisah mereka? Kisah Jaja yang jatuh cinta pada Din, seorang pemuda yang sangat berbeza cara hidup mereka. Ditulis oleh Noor Suraya dan diterbitkan oleh Jemari Seni pada tahun 2009, saya seronok membacanya.
Kenyataan hidup, apabila ditanya pada seseorang tentang pasangan idaman, rata-rata menuju pada pokok pangkal yang sama; seorang yang beriman, patuh dan taat pada agama, boleh membimbing pasangannya menuju ke Jannah yang diidami dan segala hal yang baik. Tidak salah bukan mempunyai keinginan begini? Bukan salah Jaja untuk mengimpikan Din sebagai imam hidupnya. Bukan salah saya mahu pun awak yang membaca untuk mengharapkan seseorang yang boleh membawa kita untuk lebih dekat pada-Nya.
Cinta itu pasti
Hadir dan pergi
Membekas di hati
Atau berlalu sendiri
Sedar atau tidak kehadirannya
Ia pasti ada.
 Cinta itu kan fitrah. Datang secara tiba-tiba tanpa perlu dijemput, dialukan. Yang salah, bila cinta itu dilayan dan terus dipupuk, melebihi cinta kita pada Yang Esa. Yang salah, bila cinta itu kita biar merebak dan mengkhianati hati kita. Yang salah, bila cinta dibelai dan dimanja, melebihi apa yang sepatutnya. 


Cinta kita sepatutnya ditumpukan khas kepada Sang Pencipta, kerana kita semua adalah miliknya. Cinta-cinta yang lain pula adalah cabang cinta kita kepada-Nya. Kalau diri sudah mencintai-Nya sepenuh hati kita, apa lagi yang saya dan awak perlu bimbangkan?
Cinta kepada manusia yang lahir dari cabang cinta Allah adalah cinta yang indah, saya pasti begitu. Kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi: “Cinta itu bukan tujuan, cinta itu hanya jalan. Cinta itu bukan matlamat, cinta itu cuma alat”. Alat untuk kita lebih mengenali Dia, mengasihi Dia, mengabadikan Dia dalam sanubari kita.
Jom sama-sama cintai Dia, insya-Allah cinta manusia yang suci akan kita peroleh.
 Saya ingin sekali menjadi Jaja, kerana Din itu yang membuat saya cemburu padanya. Semoga saya dan awak dikurniakan Din kita, Din yang sama Jaja peroleh.
Amin..
[ Sebenarnya ada versi lain yang saya tulis mengenai Jaja & Din, tapi mungkin ia tidak sesuai untuk menjadi perhatian ramai. Pendapat awak yang membaca? Biarlah ia menjadi rahsia saya buat masa ini..]

No comments: