Monday, January 31, 2011

Petise#3


Apakah kubur yang berjalan bersama penghuninya?

Ikan yang menelan Nabi Yunus sehingga baginda dibawa mengelilingi tujuh lautan.



Apakah makhluk yang dapat mengingatkan bangsanya, tetapi bukan dalam kalangan jin dan manusia?

Semut dalam kisah Nabi Sulaiman. Semut tersebut bersuara, 'Wahai para semut! Masuklah ke dalam sarang anda semua agar tidak dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman dalam keadaan mereka tidak sedar'.



Apakah 5 makhluk yang berjalan di muka bumi ini, tetapi tidak satu pun lahir dari kandungan ibunya?

Nabi Adam, isterinya Siti Hawa, unta Nabi Salleh, kambing Nabi Ibrahim yang digantikan oleh Allah tatkala keazamannya untuk mengorbankan Nabi Ismail, dan ular yang menjelma dari tongkat Nabi Musa.


- Cinta Medeni, Dr. Faisal Tehrani -





Mampu memahami, namun sukar menafsir.

Monday, January 24, 2011

Saya rindu Arwah Nenek

Entah mengapa, ketika ini, rasa rindu bertalu-talu datang, membawa kembali ingatan saya pada kenangan bersama arwah nenek. Rasa sayu dalam hati setiap kali teringat wajah arwah, rasa rindu pada suaranya yang selalu menyebut kalam Tuhan, rasa menyesal kerana tidak banyak meluangkan masa dengannya ketika arwah masih hidup.

Memori lalu asyik menari-nari dalam kepala.



Saya sedang menyiapkan kerja sekolah rendah saya pada satu petang. Meja study yang bersebelahan dengan tingkap yang mengadap pantai selalu mejadi pilihan. Dengan bunyi ombak dan angin lembut yang berdesir, terasa nyaman dan indah sekali. Setiap patah perkataan yang tertulis di buku pun dengan mudah dapat difahami. Sungguh asyik. Tiba-tiba, terdengar suara arwah memanggil nama saya dari biliknya. Ya, konsentrasi saya terganggu. Dengan malas saya bangun dan menuju ke bilik arwah. Arwah meminta saya mengurut belakangya yang lenguh. Hati saya meronta-ronta tidak mahu dan ingin segera menyambung kerja sekolah saya, namun saya terpaksa jua menurut pemintaan arwah. Paling tidak boleh saya lupa sehingga sekarang, selesai sahaja saya mengurut belakangnya, arwah terus menghulur RM5 kepada saya sebagai upah. Saya terus terdiam. Sungguh, saya sama sekali tidak menyangka yang arwah akan berbuat begitu, dan perasaan menyesal kerana tidak mengurut arwah dengan baik pada masa itu masih terasa hingga kini.


Habis peperiksaan SPM, arwah diserang angin ahmar. Kakak dan saya yang selalu berada di rumahlah yang selalu menyuap arwah makan, memicit dan mengurut kakinya yang tidak boleh bergerak, dan melayan segala permintaan arwah. Mak pula akan setia di sisi arwah pada sebelah malamnya. Ayah pula tidak kisah dengan mak yang hampir setiap malam tidur di sebelah arwah. Kadangkala ayah juga turut sama menghampar tilam di sisi arwah dan tidur berjemaah di situ.

Semasa orang lain sedang membaca surah Yaasin di rumah, saya pula asyik menyuap arwah makan. Majlis bacaan Yaasin itu memang sengaja diadakan melihatkan kondisi arwah yang masih sama seperti mula-mula diserang angin ahmar dulu. Memang, dengan umur arwah yang sudah mencecah 90 tahun ketika itu, semua orang tidak mengharapkan lebih daripada yang sepatutnya. Arwah makan sangat banyak ketika itu. Habis satu mangkuk, arwah minta semangkuk lagi. Berselera benar arwah makan cocktail yang mak buat.



Ya Allah, saya sangat rindukan arwah. Sering sahaja saya termimpikan beliau, gembira bersama-sama saya. Bila bangkit dari tidur, saya jadi keliru. Arwah dah tiada kan? Tapi kenapa saya terasa seolah-olah arwah masih hidup?

Ya Allah, rahmatilah arwah di alam sana...




***

Usai membaca Mathurat selepas Maghrib tadi, saya terlelap. Bila saya tersedar, saya ternampak sekujur tubuh sedang terbaring di atas katil. Rupa-rupanya roommate saya pun tertidur seperti saya!

Kenyataannya, bila saya melihat roommate saya yang tertidur dengan telekung masih di badannya itu, terus saya teringat pada arwah nenek. Dan itulah starting point yang membuatkan saya rindu sangat-sangat pada arwah ketika ini.




Kepada roommate saya, lepas ni jangan tidur macam tu lagi. Serius nampak macam mayat.  :D

Sunday, January 23, 2011

Tengok haiwan di Zoo

Mungkin orang lain sudah lama sampai ke sini, atau mungkin sudah beberapa kali kalian singgah ke sini. Namun, Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga menjejakkan kaki ke Zoo Negara semalam. Seharian kami mundar-mandir di sana, yalah, baru berbaloi RM25 yang kami bayar tu. Semua tempat kami singgah kecuali Ape Centre sebab kaki dah terlalu lenguh dan kewajipan Zohor yang belum ditunaikan.


Here are some pictures:











Seronok dapat tengok persembahan daripada singa laut. Namun terdetik rasa kasihan pada haiwan tersebut apabila ia tidak diberi upah makan apabila tidak dapat mencapai aras tinggi yang ditetapkan oleh jurulatih ketika melompat. Sepanjang jalan-jalan kat sana, fikiran asyik teringat je kat Alex, Marty, Melman dan Gloria dalam kartun Madagascar tu. Oh, saya memang jumpa diorang semua kat sini, tapi terlupa nak ambil gambar. ;)


Jalan ke Zoo Negara;
LRT Stesen U - Wangsa Maju  (RM2.40)
Naik bas no. 34 atau teksi (RM5- RM7)





* Insya-Allah, minggu depan nak ke RTK. Rindu adik-adik kat sana.   ;(

Friday, January 21, 2011

Petise#2

Ketika aku mohon kekuatan, Allah berikanku kesulitan hingga aku kuat.
Ketika aku mohon kebijaksanaan, Allah berikanku masalah untukku pecahkan.
Ketika aku mohon kesejahteraan, Allah berikanku akal untukku berfikir.
Ketika aku mohon keberanian, Allah berikanku bahaya untukku atasi.
Ketika aku perlukan cinta, Allah berikan orang bermasalah untukku tolong.
Ketika aku mohon bantuan, Allah berikanku kesempatan.
Ketika aku tidak pernah menerima apa yang aku pinta, tapi aku menerima apa yang aku perlu.

-Imam Ghazali-




Pandang pada yang positif, nyahcaskan segala yang negatif.






* Last Fardu Ain class; next week Kak Salmah, Chief Fasi tak dapat datang sebab ada program di UIAM Gombak.
* Selamat Hari Lahir buat sahabat saya, Solehah Zulkifli! Sayang Lehah.. :)
* Upin kan 'abang', tapi kenapa Upin lagi manja daripada Ipin ya?
* Jom tingkatkan amal!


Tuesday, January 11, 2011

Petise


"Kata orang, semua lelaki, semua tanpa kecuali, akan jatuh cinta kali kedua pada umur 40 tahun ke atas. Lazimnya, mereka jatuh cinta ini adalah terhadap wanita yang lebih muda daripada isterinya. Kekadang dia jatuh cinta semula dengan bekas kekasihnya yang telah berpisah lama. Maka berkahwinlah dia buat kali keduanya, menyebabkan dia mempunyai isteri-isteri yang bermadu, kekadang pula menyebabkan perceraian dengan isteri tuanya. Kononnya, ada juga lelaki yang jatuh cinta buat kali kedua itu dengan isterinya yang sedang hidup bersama-sama dengannya. Keadaan ini ialah mitos yang diimpikan oleh semua wanita yang bernama isteri pertama." 
-Hostel: Memento Cinta-



Poligami? Tidak semua orang mempunyai pendapat yang sama. Saya juga punya pandangan saya sendiri dalam isu ini. Mungkin bila tiba masanya saya akan bercerita tentang pendapat saya, dan mungkin juga saya akan terus diamkannya.



***

Tersenyum bila terlihat satu tulisan tangan pada kertas A4 yang tertampal di dinding bilik abang kandung saya,

'Monogami, pilihanku!'


Friday, January 7, 2011

Storia | Sekadar sahabat

Saya duduk. Bangku ini tidak lagi kosong, namun ruang di sebelah saya masih belum terisi. Namun, pilihan dia tepat. Memilih untuk berdiri adalah keputusan terbaik yang diambilnya.

"Betul awak ingin tahu?"

"Ya, dan saya sangat pasti."


Keluhan kecil terlepas jua. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk saya berbuat begini, namun mungkin, prinsip yang dipegang sesekali harus dicabar.


Sejenak kata-kata yang pernah dia tujukan pada saya bergema di dalam kepala,

"Kadang-kadang cinta yang lahir dari pintu simpati itulah yang lebih kekal".

Dan ketika itu, saya hanya mampu diam.


Angin lembut berdesir di telinga. Dia masih berdiri di situ, dan saya masih merasakan saya lebih tenang dengan memilih untuk duduk di bangku ini, bangku yang menyimpan memori kami.


"Hahaha, nama je lelaki, tapi kaki bangku."

Waktu itu, saya hanya mampu menangis teresak-esak di bangku ini. Mereka benar, saya tidak mahir dalam menggelecek bola. Ingin saya bawa bola itu ke kanan, ke kiri pula perginya. Ingin dihalakan bola itu ke kiri, ke kanan pula geraknya. Saya kaki bangku, tapi itu dulu, saat saya masih budak hingusan. Kini janggut mulai tumbuh di dagu, dan mungkin mereka sudah tidak ingat saya, kerana rupa saya yang sudah berubah.

Saat saya masih kecil, dia yang berdiri dengan jarak satu meter daripada saya inilah yang selalu memenangkan diri yang selalu kalah ini. Menyedari saya yang tidak mempunyai ibu bapa seperti kanak-kanak yang lain, memang terserlah sikap pilih kasihnya terhadap saya berbanding kawan-kawan yang lain. Dia yang selalu berperang mulut dengan mereka yang selalu suka mencari kelemahan saya, dia yang selalu menghulurkan makanan dan minuman saat saya terpaksa mengikat perut sedang kawan-kawan yang lain berlari-lari ke kantin sekolah pada waktu rehat, dia yang merawat luka saya di bangku ini bila kaki saya luka akibat terjatuh- kini menanti jawapan daripada saya.

Dalam sedar atau tidak, zaman kanak-kanak itu telah lama saya dan dia tinggalkan. Dulu tidak salah untuk saya dan dia bersentuhan tangan, bergurau-senda sambil mengulangkaji pelajaran, berdua-dua dalam kepekatan malam apabila pulang dari kelas menggaji Qur'an, namun sekarang, saya dan dia sendiri sudah tahu batas-batas yang perlu kami jaga.


Dia masih sabar menanti. Saya akui, sudah terlalu banyak pertolongan yang dia telah berikan pada saya. Namun saya merasakan ini bukanlah satu-satunya cara untuk saya membalas segala jasanya. Perit untuk saya meluahkannya, namun saya juga tidak sanggup membiarkan dia ternanti-nanti.

Akhirnya, saya membuka mulut,

"Saya benar-benar minta maaf. Saya tak nafikan, kadang-kadang cinta yang lahir daripada pintu simpati itulah yang lebih kekal. Tapi saya tak mampu bertahan dengan 'simpati' itu. Simpati itu mungkin akan hilang seiring dengan masa yang berlalu, dan saat itu, saya bimbang cinta yang lahir daripada pintu simpati itu akan turut pergi."

Nafas ditarik dan dihembus.

"Saya hargai kehadiran awak dalam hidup saya, namun tidak pernah saya terfikir bahawa kita akan melangkaui persahabatan yang kita bina. Mungkin satu hari nanti, perasaan cinta itu akan berbenih dan bercambah sendiri, tapi ia masih tidak menjanjikan apa-apa. Saya masih belum bersedia untuk bercinta selain dengan-Nya, dan Dia masih menutup hati saya untuk merasai cinta yang awak maksudkan. Saya benar-benar minta maaf jika saya menyinggung perasaan awak. Jawapan saya, kita sekadar sahabat."


Saat saya melangkah pergi, saya melihat air mata perempuannya menitis ke pipi. Hati sedikit terusik, namun saya tekad, saya tidak akan berpaling!


-Tamat-



***

Jika Faisal Tehrani boleh menyelami hati wanita dan mengolahnya dengan baik dalam Tunggu Teduh Dulu, saya juga ingin cuba meletakkan diri saya di tempat lelaki dan mewakili suara hati mereka.  :)

Wednesday, January 5, 2011

Ingat Dia

Bila mata bertemu mata,
timbul rasa cinta.
Bila hati bertemu hati,
kasih pantas bersemi.
Bila dahi bertemu sejadah,
terasa agungnya kasih Illahi.


Kering dan gersangnya hati bila lari daripada cinta Yang Hakiki.
Hati mekar dan tenteram bila Cinta-Nya sering menemani.



"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu."  (2:152)