Friday, March 23, 2012

satu ketika dahulu


[ Google ]


Tahun 1999. Darjah 1 di Madrasah Darul Taqwa Batu 6.

Diri mula diajar segala cabang ilmu yang ada; ilmu ukhrawi dan ilmu duniawi. Banat dituntut untuk memakai tudung, namun diri yang ketika itu masih kecil dan tidak memahami apa-apa, hanya menutup kepala ketika perlu sahaja; di sekolah dan ketika solat.

Sehinggalah pada satu hari, saya bermain-main di pantai bersama jiran. Seronok. Ketika itu rambut hanya dilepaskan melayang, tidak terasa apa-apa yang salah. Tiba-tiba saya ternampak satu susuk tubuh semakin mendekati. Saya cuba mengecam siapa orangya. Sah, jiran saya yang juga senior saya di sekolah semakin menghampiri. Saya panggil dia Kak Chik.

Kak Chik setahun lebih tua daripada saya. Walaupun pada masa itu dia baru berada di Darjah 2, saya tidak pernah melihat dia keluar dari rumahnya tanpa menutup kepala. Saya kira keluarganya sangat tegas dalam hal ini. Tiba-tiba saya diserbu rasa segan dan malu. Lantas saya membuka langkah seribu dan berlari ke rumah, mengambil tudung, memakainya di kepala, dan kembali ke pantai untuk bermain.

 Ketika itu saya memakai tudung hanya kerana rasa segan kepada Kak Chik, bimbang Kak Chik akan berfikir yang bukan-bukan pasal diri saya, juga bimbang Kak Chik akan mengkhabarkan hal itu kepada guru-guru di sekolah. Ketika itu saya masih jahil dan tidak tahu apa-apa. Namun bermula daripada saat itulah, tudung mula serasi dengan jiwa saya.

Sekarang, saya sudah mampu memahami segala-galanya. Segala yang Allah tetapkan ada maksud disebaliknya. Insya-Allah, sekarang saya bertudung bukan kerana takut atau malu dengan sesiapa, tapi saya bertudung kerana rasa malu saya kepada Allah. Banyak nikmat dan kurniaan yang Allah sudah bagi kepada saya, mana mungkin saya masih tidak mahu menurut perintah-Nya sedangkan perintah itu adalah untuk menjaga dan menyelamatkan saya di dunia dan akhirat.

Insya-Allah, tudung ini akan sentiasa kekal di kepala saya.


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” (24:31)


Thursday, March 22, 2012

jatuh bangun


Kadang-kadang kita rasa diri sangat bersemangat. Kerja apa-apa pun jadi mudah. Bagi la apa-apa pun, sekelip mata je boleh siap. Rasa macam dunia ni kita yang punya.

Kadang-kadang kita rasa sangat lemah dan down. Muka pun jadi ketat, malas nak senyum. Rasa macam nak pergi jauh-jauh, tak nak jumpa siapa-siapa pun. Walaupun orang putih kata ‘no man in an island’, rasa macam nak buktikan yang diri mampu sendiri, tapi bukan lama-lama la kan :P

Presentation BM baru-baru ni, saya dan kawan-kawan dah buat yang terbaik. Kami dah all out semuanya. Rasa letih dan sedikit stress, tapi salah kami jugak la kan sebab buat kerja last minute. Apa-apa pun kami dah usaha, terpulang la kepada Cikgu dan rakan-rakan sekelas untuk menilai kami.

Tak habis lagi tension buat presentation BM tu, dapat lagi satu task untuk kritik radiograph. Scapular Y, memang agak susah. Satu malam saya duk mengadap radiograph tu sampai buku untuk exam esoknya pun saya tak buka. Terima kasih kawan-kawan yang banyak tolong saya masa saya tengah terkial-kial cari jawapan untuk radiograph tu.

Subhanallah! Cantik kat ciptaan  Tuhan. Scapula kita nampak macam bentuk Y  bila diambil dengan posisi oblique.
[ Source: Google. ]


Jatuh bangun, adat manusia la kan?

Macammana pulak dengan iman kita?

Jangan jatuh tak bangun-bangun.


Thursday, March 15, 2012

makbul




Saya dah lama berharap agar hasrat saya diterima. 

Bukan mencanang, cuma menyatakan apa yang terbuku di dalam dada saya.

Sehingga tiba hari itu, dunia dirasakan bagai saya yang punya. 

Syukur Alhamdulillah, Dia mendengar suara hati saya. 

Kini saya boleh tersenyum bahagia, sambil mengatur langkah dengan terus jaya.

Friday, March 9, 2012

demam




Bila sihat, kita buat benda yang bukan-bukan. Bila dah sakit, mula la tak larat nak buat semua benda.

 Hampir 3 hari tidak dapat berpisah dengan katil. Mata asyik ingin lelap. Celik mata kejap, solat, isi perut dan makan ubat, lepas tu kembali lena.

 Asalnya ke klinik untuk ambil ubat batuk dan selesema, tapi doktor pula cakap diri demam. Doktor bagi ubat dan pesan jangan lupa habiskan semua ubat tu.

 Kelas BM yang lepas, selesema saya agak teruk. Asyik bersin tak henti-henti, sangat tak selesa. Bila Cikgu Chow suruh baca slide yang panjang tu, saya rasa sangat malu. Suara sengau, boleh ke kawan-kawan saya ni faham apa yang saya baca? Mujur la sebelum tu Cikgu Chow dah cakap awal-awal yang saya ni bukan alien. Kalau tak, mesti kawan-kawan saya tak faham bahasa ‘alien’ saya kan?

Sekarang dah kembali ke rutin biasa. Gembira dapat bersama kawan-kawan dalam kelas.


 Sakit itu penghapus dosa. Namun janganlah dibiarkan saja andai sakit datang mengganggu. Jaga kesihatan,bersyukurlah dengan nikmat sihat yang Tuhan bagi.


Thursday, January 26, 2012

wedding



Bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan.

Gembira saja yang terpancar pada wajah kedua mempelai. Alhamdulillah, mereka sudah sah menjadi suami isteri, sudah melengkapkan separuh daripada agama.

Dua hari saya berada di Setiu baru-baru ini, di rumah sepupu saya. Ramai saudara-mara yang datang, meriah tidak terkira. Hari pertama, akad nikah berjalan dengan lancar. Kerja tersangat banyak, namun dengan bilangan saudara-mara yang juga tersangat banyak, saya hanya goyang kaki, sekadar menolong untuk menjaga dan mengawasi anak-anak kecil.

Hari kedua, kenduri. Sebelah pagi, tugas saya masih sama, sekadar melayan kerenah anak-anak kecil yang menangis untuk disuap makan, berkejaran ke sana-sini, mendukung dan bermain bersama mereka. Di luar rumah tetamu sudah semakin ramai. Selepas Zohor barulah saya memulakan tugas bersama sepupu-sepupu saya di tempat basuhan, membasuh pinggan-pinggan dan gelas-gelas yang telah digunakan. Sudah menjadi adat mungkin, kerja membasuh ini dimonopoli oleh kaum lelaki. Maka saya dan hanya beberapa sepupu yang perempuan hanya diam melayan dan mendengar celoteh mereka. Sempat juga saya berkongsi cerita dengan sepupu saya yang pernah belajar di UIA satu ketika dahulu.

Bercakap mengenai sepupu-sepupu yang lelaki ini, saya kira banyak pengajaran yang boleh saya ambil daripada perbualan mereka yang boleh dikatakan mengarut itu. Yang paling terkesan dalam diri saya adalah pandangan mereka terhadap fesyen wanita masa kini. Ya, mereka sukakan perempuan yang tidak berlebih-berlebih dalam bergaya dan dan berfesyen. Rata-rata perbualan mereka memang tidak lari daripada isu itu, tapi ia tetap diselang-selikan dengan jenaka dan pose istimewa saat terlihat ada kamera yang menuju ke arah kami.

Petang menjelma, tetamu mulai kurang. Seorang demi seorang mula meninggalkan tempat ‘kerja’ kami sehingga akhirnya hanya tinggal saya dan seorang lagi seorang sepupu saya. Kami terus mengelap pinggan-pinggan dan gelas-gelas yang sudah dibasuh sambil sesekali berbicara. Mungkin kerana sudah penat untuk membuka mulut, kami banyak melayan perasaan masing-masing. Saya mula teringat pada ucapan Sir Zainul, lecturer saya di UIA tentang hal perkahwinan.


“ Kita nak bina hidup baru, tapi kenapa kita mulakan ia dengan sesuatu yang tidak baik?”

Saya setuju dengan kata-kata beliau. Sudah menjadi lumrah pada hari perkahwinan, pengantin perempuan akan disolek cantik dan menawan beberapa jam sebelum masuk waktu solat. Bila azan dilaungkan, pengantin sudah bersiap sedia dalam persalinan yang indah. Sentuhan akhir terus diberi sehinggalah pengantin kelihatan cukup sempurna untuk bertemu muka dengan pengantin lelaki dan orang ramai. Bila sudah didandan rapi sebegitu, maka hilanglah keutamaan untuk sujud kepada Tuhan.

‘Takkan la senang-senang je nak basuh muka ambil wuduk, nanti hilang la segala mekap ni. Bukannya senang nak mekap balik.’

Hingga azan untuk waktu solat yang seterusnya berkumandang pun, pengantin dilihat masih mesra dan tersenyum bahagia melayan tetamu-tetamu yang hadir. Betul, mereka datang meraikan pengantin dan pengantin harus menghargai mereka, tapi pengantin harus ingat keutamaan mereka. Panggilan Allah tetap harus menjadi yang utama.


“Relax Ibah, tetamu tak ramai pun. Tak yah nak tension-tension lap pinggan tu”.

“Hehe…”

Saya tersenyum. Serius sangat ke muka saya bila tengah melayan perasaan tu? Okay, kembali senyum dan sambung kerja.


[ Maaf jika ada yang terasa. ]

Tuesday, January 17, 2012

17 Januari 2012



Matahari masih malu-malu mempamerkan wajah. Awan-awan pula mengerumuni matahari, persis kesatria-kesatria gagah perkasa menjaga dan melindungi si puteri jelita. Deru pantai kedengaran perlahan, angin pula tidak terasa derasnya.

Ibu sedang asyik menyapu sampah di perkarangan rumah, kakak pula sedang berkira-kira untuk menuju ke mesin jahitnya selepas selesai bersarapan. Saya memanaskan air dan membancuh minuman kegemaran saya, minum, Alhamdulillah, nikmat sungguh rasanya.

Usai mengemas, saya terus ke sini, mengadap komputer riba dan berkira-kira untuk menulis sesuatu. Jari-jari meronta ingin menari, namun minda tidak dapat menterjemah apa yang mahu dicoretkan.

Termenung seketika.

Mungkin saya perlu menukar sedikit haluan minda saya, memberi peluang kepadanya untuk memperkatakan sesuatu yang mungkin bukan yang utama, namun masih boleh diluah dan dizahirkan.

Déjà vu, atau dalam bahasa yang lebih senang, gerak hati. Saya sering dibayangi dengan satu peristiwa yang saya yakin suatu hari nanti, ia pasti akan berlaku. Hati saya kuat mengatakan bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil dan boleh terjadi walau masanya tidak dapat saya agak. Saya berdoa dalam hati, andai ia benar-benar berlaku, saya ingin sekali berada di situ, menjadi saksi atas sesuatu yang mungkin berbekas dalam hati saya.

Namun itulah kenyataan. Kita hanya mampu merancang, tapi segalanya Tuhan yang menentukan. Ingin saja saya memutarkan masa, agar saya bisa berbuat sesuatu, agar saya boleh melenyapkan rasa kecewa ini di dada. Ia sudah berlaku, dan yang paling tepat, ia sudah berlaku semalam. Dan saya, ya, saya tidak berada di situ. Saya sudah jauh, dan saya memang tidak boleh berpatah balik.

Tuhan punya rencana, pasti ada hikmahnya. Jika bukan semalam, mungkin hari esok saya masih mempunyai peluang. Mungkin ia akan berlaku lagi, dan saya akan terus berharap. Andai ia berulang, saya mahu menjadi salah seorang daripadanya.

Matahari masih di situ, awan-awan masih tidak mahu berganjak, deru pantai masih kedengaran sama, dan angin tiada apa yang berbeza.

Ibu hampir siap menyapu sampah. Kakak pula sedang khusyuk dengan kain dan mesin jahitnya. Dan saya masih di sini, masih menghirup aroma Nescafe kegemaran saya.

[Pemalas kan saya? :P ]

Sunday, January 15, 2012

2012




Dulu saya selalu tertanya-tanya, kenapa bila rakan-rakan yang saya kenal dah masuk main campus, blog diorang tak selalu diupdate? Dan sekarang saya dah tahu jawapannya. Dan maaf sekali lagi, saya juga sudah tergolong dalam kategori yang sama.

Dah agak lama saya 'tutup' blog saya ni, tapi atas permintaan sahabat saya, saya buka balik untuk tatapan semua. Tapi maaf lagi sekali, saya pasti saya tak akan menulis selalu, and my next entry tak tahu la bila. Anyway, saya tak tahu nak kata apa dah.

Thanks everyone and may Allah bless :)